Guru KAFA, Guru Agama Johan Tilawah Al-Quran Sabah

Tilawah.jpg

Nur Faten Izzati menerima hadiah kemenangan daripada TYT Tun Juhar Mahiruddin.

Kongsi Bersama

TAWAU: Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS), Nur Faten Izzati Rablin, 30, dinobatkan sebagai johan qariah Majlis Tilawah al-Quran dan Hafazan, Peringkat Negeri Sabah, 1443H/2022M buat kali keempat malam tadi.

Beliau sebelum ini pernah muncul johan qariah peringkat negeri pada tahun 2012, 2018 dan 2019.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda (Qiraat) dari Universiti Al-Azhar Mesir itu juga pernah muncul johan Tilawah Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) 2011 di Melaka dan tempat ketiga Tilawah Antarabangsa Belia Asia Tenggara di Brunei Darussalam pada 2014.

Nur Fateen berkata, dia mendapat bimbingan daripada guru mengajinya, Ustaz Anuar Ghazali yang juga Johan Qari Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2012.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana beri peluang lagi (menjadi johan) walaupun sebenarnya masih banyak lagi yang perlu dipelajari.

“Untuk generasi muda, jangan malu belajar dan carilah guru untuk mendalami ilmu dan seni mengaji al-Quran di samping dapat memperbaiki serta meningkatkan mutu bacaan al-Quran,” katanya.

Sementara itu, johan qari disandang guru agama di Sekolah Agama Negeri (SAN) Intergrasi Putatan, Hamdi Yusop@Yusof, 26, yang mewakili daerah Papar.

Hamdi ketika ditemui menzahirkan rasa syukur dengan kemenangan kali pertama itu.

“Insya-Allah, lebih banyak persediaan dan latihan perlu dilakukan untuk membawa cabaran seterusnya di peringkat kebangsaan nanti,” katanya.

Majlis Penutupan dan Penyampaian hadiah disempurnakan Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, di Dewan Masyarakat Tawau.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor bersama isteri, Datin Seri Juliah Salaq dan Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Pemenang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000 berserta piala dan sijil penyertaan selain hadiah iringan termasuk pakej mengerjakan haji.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top