NABAWAN: Guru sebuah sekolah rendah di daerah pedalaman di sini terpaksa berjalan kaki selama 18 jam, mengharung jalan berlumpur sejauh 30km demi untuk memberi pendidikan kepada murid-murid.
Nasib warga pendidik ini turut dikongsi oleh seorang anak perempuan kepada guru besar SK Pangaraan.
“Ibu saya, Jusseh Agitor ialah guru besar di SK Pangaraan, Nabawan. Dia akan bersara tahun depan, namun semangatnya dalam memberikan pendidikan kepada generasi muda masih tinggi.
“Luluh hati saya melihat dia dan guru lain berjalan kaki selama 18 jam, berbuka puasa di jalan berlumpur yang dikelilingi semak dan berehat beberapa minit sahaja sebelum meneruskan perjalanan ke sekolah.
“Dia biasanya tinggal di kuarters guru tetapi ketika cuti sekolah baru-baru ini, dia pulang ke rumah di Keningau untuk meluangkan masa bersama keluarga,” kata Zazila Roslan ketika dihubungi The Borneo Post selepas menyedari catatan Facebooknya yang dikongsi netizen.
Untuk ke sekolah rendah itu sebelum ini tidaklah teruk sekarang kerana boleh dicapai dengan kenderaan pacuan empat roda.
Bagaimanapun, tiga jambatan lama yang menghubungkan bandar Nabawan ke Kg Pohon Batu dan Kg Pangaraan runtuh pada hari yang sama, 5 Mac 2022.
Terdapat juga tanah runtuh di sepanjang jalan sepanjang 30km bermula 10km selepas Kg Binanun di mana terletaknya jambatan runtuh pertama, memutuskan perhubungan kedua-dua kampung.
“Saya masih ingat ketika kecil, kami akan bermalam di rumah orang kampung untuk berehat atau tidur dari perjalanan jauh untuk ke sekolah tempat ibu mengajar, kerana keadaan jalan yang tidak boleh dilalui kenderaan.
“Saya tidak sangka 27 tahun kemudian, ibu dan guru-guru lain terpaksa berdepan dengan situasi ini semula.
“Ibu saya diberi kebenaran bekerja dari pejabat daerah di bandar sehingga jalan raya boleh dilalui, tetapi mengenali ibu saya, saya tahu dia tidak akan duduk diam.
“Dia menumpukan hidupnya untuk mengajar di pedalaman selama 27 tahun. Dia tidak akan membiarkan pelajarnya ponteng kelas,” katanya.
Zazila juga berharap kisahnya akan menjadi viral kerana ramai penduduk di kedua-dua kampung memerlukan bantuan.
“Ada yang sudah bercakap tentang kekurangan makanan,” katanya.
Selain masyarakat yang menjual hasil tanaman dan mendapatkan bekalan makanan dari pekan Nabawan, pesakit yang memerlukan rawatan perubatan dan pemeriksaan juga mengalami kesukaran berikutan jalan raya yang rosak teruk.
Di SK Pangaraan sahaja, lebih 40 murid terjejas teruk dengan keadaan semasa.
Zazila dimaklumkan bahawa Jabatan Kesihatan bersedia untuk sebarang kecemasan perubatan, tetapi ia masih tidak sesuai untuk mereka yang memerlukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
“Memandangkan helikopter disediakan untuk kes kecemasan, saya hanya berharap pihak berkuasa berkenaan dapat menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada guru-guru sekali-sekala,” tambahnya.
Sumber: The Borneo Post