KOTA KINABALU: Kawasan puncak Gunung Kinabalu dilaporkan mencatat suhu di bawah paras beku, pada awal pagi semalam.
Menurut kenyataan Taman-Taman Sabah (TTS) di laman Facebook rasmi Sabah Parks, suhu antara -3 sehingga -5 Celcius direkodkan antara 2.30 pagi hingga 7 pagi.
Kata kenyataan itu lagi, suhu yang rendah itu menyebabkan air di permukaan batu atau kayu membeku dan membentuk kepingan, isikel atau hablur ais di kawasan Kompleks Sub Stesen Panalaban, Taman Kinabalu sehingga ke puncak Gunung Kinabalu.
Kenyataan itu turut menasihatkan pendaki gunung supaya sentiasa berhati-hati sepanjang melakukan aktiviti pendakian kerana permukaan batuan granit licin disebabkan pembekuan ais.
“Setakat ini aktiviti pendakian adalah lancar dan terkawal. Tiada kes kecemasan atau kemalangan yang dilaporkan,” katanya.
Katanya, acute mountain sickness (AMS) juga mudah berlaku dalam keadaan cuaca yang sejuk.
Untuk rekod, pada 28 Februari tahun lepas fenomena salji berlaku di puncak tertinggi di Asia Tenggara itu.