Gunting rambut percuma untuk lebih 650 murid

gunting-rambut.jpg

SIPITANG: Lebih 650 murid menyertai majlis gunting rambut percuma pada Jumaat lepas, tiga hari sebelum sesi persekolahan bermula.

Pengerusi Lembaga Koko Malaysia yang juga Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah berkata program itu diadakan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Sipitang dan Adun Sindumin merangkap Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad Datuk Dr Yusoff Yaccob.

“Program ini bagi memberi semangat kepada ibu bapa dan murid menjelang sesi persekolahan.

“Terdahulu, kita menganjurkan program Kembali ke Sekolah yang membabitkan lebih 500 murid di Lumadan di lima lokasi iaitu Padas Damit, dan tiga lokasi di Pekan Beaufort dan juga Weston.

“Hari ini kita meneruskan program ini di Sindumin yang melibatkan Mesapol dan Sipitang yang mana ramai anak-anak ditemani ibu bapa untuk menggunting rambut.

“Ia diadakan seawal jam 8 pagi dan perkhidmatan gunting rambut adalah percuma. Kami bercadang untuk meneruskannya pada masa akan datang kerana sambutannya luar biasa,” katanya.

Matbali mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Pendidikan Daerah atas kerjasama dalam menjayakan program tersebut.

“Ia juga bagi meringankan beban ibu bapa dengan membantu mereka mengurangkan perbelanjaan untuk keperluan sekolah anak-anak mereka,” katanya.

Yusoff berkata ia boleh meningkatkan semangat kanak-kanak untuk terus belajar.

“Sudah tentu ibu bapa sibuk membeli-belah untuk keperluan anak-anak dan kami sedia membantu dengan mengadakan gunting rambut percuma,” katanya.

 

— Ahmad Apong/Penerangan Gagasan Rakyat

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top