TENOM: Media sosial dan aplikasi telefon pintar adalah salah satu saluran utama bagi calon Barisan Nasional (BN) DUN Melalap Jamawi Jaafar menyampaikan kempen dan mesej kepada pengundi pada PRN kali ini.
Jamawi berkata, keberkesanan media sosial telah terbukti sejak pilihan raya umum yang lepas apabila pengundi-pengundi bergantung sepenuhnya kepada media sosial untuk mendapatkan maklumat lebih pantas.
“Perkongsian jadual calon, gambar, berita dan laporan langsung dari lokasi berkempen sentiasa dibuat secara pantas supaya pengundi mempunyai pengetahuan mendalam mengenai misi dan visi seseorang calon.
“Selain program ceramah dan lawatan rumah ke rumah laporan media cetak, media sosial dan aplikasi grup WhatsApp merupakan salah satu platform saya berkempen pada PRN kali ini,” katanya ketika di temui di pejabat perhubungan beliau di Pekan Tenom baru-baru ini.
Jelas Jamawi , setiap pasukan calon berkempen dilengkapi dengan pemberita media sosial yang cekap melaksanakan tugas bagi menyampaikan maklumat kerana pengundi semakin bijak untuk tidak bergantung kepada hanya satu sumber maklumat. Aktiviti calon, jadual dan kempen disampaikan secara menyeluruh menerusi media sosial.
Menurut beliau selain halaman sosial Facebook milik peribadinya, Jamawi juga memiliki akaun halaman (page) blog dan tidak kurang dari 30 kumpulan WhatsApp di kawasan DUN Melalap.
“Saya akan ikuti perkembangan di media sosial dan kumpulan WhhatsApp ini biasanya pada sebelah malam sebelum saya melelapkan mata membaca setiap komen, pandangan dan seranan serta isu setempat. Dengan cara ini saya cepat mengambil tindakan,” jelasnya.
Jamawi terpilih menjadi calon BN bagi kawasan DUN Melalap hasil perjuangan beliau kepada penduduk sejak menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Tenom dan wakil rakyat kawasan Kemabong pada PRU ke 14 dan berkhidmat lebih dari dua tahun sebelum kerajaan Warisan membubarkan DUN Sabah.
Beliau yang dikenali sebagai pemimpin yang bekerja dan mesra rakyat semasa menjadi Adun Kemabong telah melakukan banyak perubahan yang ketara dengan membawa pelbagai program dan pembangunan ke kawasan Kemabong menyebabkan rakyat di kawasan itu sedih kerana pada PRN kali ini beliau dipindahkan untuk bertanding di DUN Melalap.
Bagi mejoriti penduduk Melalap keputusan pucuk pimpinan BN meletakkan Jamawi sebagai calon di kawasan tersebut merupakan pilihan tepat.
Sebagai anak jati yang dilahirkan di kawasan Melalap mereka menganggap Jamawi ” bagai Sirih pulang ke Gagang ” meneruskan khidmat dan bakti beliau di kampung halaman sendiri.
“Kami melihat gerak kerja dan pendekatan beliau mendekati rakyat tanpa mengira golongan tua atau muda dan bangsa ,beliau merupakan pemimpin berjiwa rakyat yang perlu diberikan sokongan,” jelas seorang pengundi muda Jureidi Joe, 27, dari Kampung Jawa Uloi.
Menurut Jureidi pada PRN kali ini penduduk Melalap perlu bersatu menyokong Jamawi bagi membawa perubahan yang dapat dinikmati semua lapisan rakyat di kawasan Melalap .