KOTA KINABALU: Kerajaan perlu menggubal undang-undang sedia ada agar keutamaan pekerjaan dapat diberikan kepada anak jati Sabah dalam mana-mana sektor pekerjaan.
Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, ini selaras dengan hasrat dan aspirasi rakyat negeri ini yang mahukan peluang pekerjaan diberi kepada anak jati Sabah.
Beliau yang juga Menteri Kewangan II negeri Sabah berkata, kerajaan juga boleh membantu dengan cara tidak sewenangnya memberikan permit kerja kepada orang asing.
Beliau berkata demikian semasa kunjungan hormat daripada Sabah Subsea Professionals Association (SSPA), di Wisma Innoprise, di sini semalam.
Kunjungan hormat yang diketuai oleh Presiden SSPA, Bony Obut adalah bertujuan untuk mengetengahkan masalah berkenaan peluang pekerjaan anak-anak Sabah dalam industri minyak dan gas (O&G) sama ada dalam pesisir atau luar pesisir.
Peluang pekerjaan ini terjejas ekoran kelemahan pihak berkuasa dalam penguatkuasaan permit kerja bagi pekerja dalam sektor berkenaan dari luar negeri ini.
Masidi berkata, peluang pekerjaan dalam sektor O&G di Sarawak bagi anak jati Sarawak tidak terjejas kerana kerajaan Sarawak sangat mengambil berat berkenaan permit kerja bagi pekerja asing luar daripada negeri itu.
Tambahnya, SSPA yang mempunyai kekuatan seramai 96 ahli yang terdiri daripada golongan profesional dalam pelbagai bidang boleh memainkan peranan dengan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menjadi rujukan penyediaan tenaga kerja bagi mana-mana anak jati negeri ini yang berkelayakan sebelum permit kerja dikeluarkan kepada orang asing.
Dalam pada itu, pihak SSPA turut menyampaikan cenderahati kepada Masidi sebagai tanda kenangan dan terima kasih atas kesudian beliau menerima kunjungan hormat daripada SSPA.- Borneo Today