1. Banyak pihak berpendapat pengumuman DS Anwar Ibrahim tentang sokongan yang diperolehinya tiga hari lepas hanyalah gimik politik untuk membantu kemenangan Warisan Plus dalam PRN Sabah.
2. Kata mereka, dengan memberi gambaran kerajaan PN akan tumbang, Anwar menghantar isyarat kepada pengundi di Sabah yang mereka tidak perlu memberi undi kepada parti-parti yang mempunyai hubungan baik dengan Persekutuan – sebagaimana dihasratkan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – kerana yang akan berkuasa di Putrajaya selepas ini bukan lagi pihak yang sama, tetapi pihak lain yang diketuai oleh dirinya.
3 Sebaliknya mereka perlu mengundi Warisan Plus kerana jika gabungan itu menang, dengan sendirinya hubungan Sabah dan Putrajaya akan sealiran sebab PKR yang Anwar ketuai adalah sebahagian daripada ‘Plus’ dalam gabungan tersebut. Maknanya orang Sabah mendapat dua perkara sekali gus; kuasa dalam kerajaan negeri dan sebahagian kuasa dalam kerajaan Persekutuan.
4. Berbeza dengan memilih GRS di mana orang Sabah digambarkan oleh Warisan Plus kononnya hanya memiliki sebahagian kuasa di Sabah dan sebahagian kuasa di Putrajaya.
5. Kalau betul niat Anwar begitu, malam tadi dia tentu terpaksa menghentukkan kepala ke dinding sekali lagi.
6. Dengan tak semena-mena Setiausaha Agung DAP muncul membuat kenyataan parti itu sama sekali tidak akan bekerjasama dengan UMNO yang di bawah DS Dr Ahmad Zahid Hamidi dan DS Najib Tun Razak. (Baca di sini)
7. Sebelum kenyataan Guan Eng itu ramai yang mula percaya bahawa memang ada perundingan di belakang pintu atau di atas atap antara Anwar dan Zahid. Ini kerana reaksi Zahid terhadap pengumuman Anwar agak lain macam; Agak lunak. ‘Ada ramai ahli parlimen BN/UMNO yang menyokong Anwar dan dia tidak boleh menghalang’. Berbeza daripada reaksi kebanyakan pemimpin UMNO lain yang melihat pengumuman itu satu lagi gimik terdesak Anwar.
8. Di kalangan pemerhati timbul tanda tanya, bagaimana ahli-ahli parlimen UMNO yang menyokong Anwar itu boleh berbuat demikian sedangkan mereka tahu Anwar dan DAP ‘berpisah tiada’? Bagaimana mereka boleh mengkhianati perjuangan sendiri untuk duduk semeja dengan musuh tradisi UMNO itu?
9. Soalan yang sama juga tentu bermain di fikiran penyokong tegar DAP. Tentu mereka hairan bagaimana kepimpinan parti boleh bersekongkol dengan UMNO hanya untuk menaikkan seorang yang bernama Anwar.
10. Dan malam tadi, Guan Eng menjelaskan segala-galanya. Tidak ada kerjasama dengan UMNO di bawah kepimpinan sekarang. Maknanya, kalau UMNO yang macam sekarang ini duduk semeja dengan Anwar, DAP tidak akan ikut sama duduk.
11. Di pihak UMNO pula, seorang demi seorang ahli parlimen yang dinamakan menyokong Anwar tampil membuat penafian. Demikian juga PAS dan GPS. Semuanya nafi. Warisan pula seakan mengelak daripada memberi komitmen. Yang terang-terang sokong cuma Amanah, itu pun kata orang sebab Mat Sabu mungkin teringin nak jadi menteri balik.
12. Sokongan DAP tentunya bersifat ‘en-bloc’ bukannya bersifat individu seperti sokongan UMNO. Jadi kalau DAP kata tak sokong, maka dari mana Anwar dapat jumlah ‘majoriti’ untuk membolehkannya membentuk kerajaan?
Oleh: Tulus Budiman