GTA Cari Rakan Di Sabah Untuk Tanding PRU-15

marzuki-yahya.jpg

Marzuki Yahya

Kongsi Bersama

TUARAN: Gerakan Tanah Air (GTA) berhasrat meletakkan calonnya bertanding bagi kerusi Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Setiausaha GTA, Datuk Marzuki Yahya, berkata ketika ini GTA dalam proses mewujudkan kerjasama dengan kumpulan di Sabah untuk bertanding atas nama gerakan itu.

Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini belum diputuskan berapa banyak kerusi akan ditandingi GTA daripada 25 kerusi Parlimen yang ada di negeri ini.

Katanya, walaupun GTA belum mendapat kelulusan secara rasmi, usaha untuk menerangkan mengenai gerakan itu termasuk di Sabah giat dilaksanakan sejajar misi penubuhannya untuk mengubah kerajaan dan keadaan politik masa kini melalui PRU-15.

“Di Sabah kita belum putus (berapa kerusi). Kita kini dalam proses untuk mewujudkan kerjasama dengan kumpulan di Sabah.

“Walaupun sudah ada empat parti di Semenanjung tapi di Sabah kita masih terbuka dengan kumpulan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyertai GTA, ini fokus kita.

“Cuma di Sabah ini hanya membabitkan Parlimen buat masa ini dan tidak membabitkan (kerusi) negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Khidmat Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Tuaran dan program penerangan GTA, di sini, kelmarin.

Selain PEJUANG, tiga lagi parti yang membentuk GTA ketika ini ialah Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (BERJASA).

Marzuki yang juga Timbalan Presiden PEJUANG berkata semua parti itu berasal dari Semenanjung, namun GTA juga membuka ruang untuk bekerjasama dengan parti tempatan atau kumpulan yang ada di Sabah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan GTA tidak akan bekerjasama dengan kumpulan parti politik yang didakwanya banyak merosakkan negara dan lari daripada perjuangan asal.

“GTA bukan sebuah parti politik tapi ia adalah satu gerakan yang mengajak orang Melayu dan Pribumi Sabah serta Sarawak untuk menyertai gerakan menyingkirkan parti politik yang banyak memberikan bebanan kepada mereka,” katanya.

Katanya, GTA tidak akan meminggirkan Sabah dan Sarawak serta rakyat Pribumi di kedua negeri itu dalam manifesto PRU-15 yang akan dibuat gerakan itu nanti.- BH

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top