GTA Akan Bertanding Di Sabah

marzuki.jpg

Marzuki

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Gabungan Tanah Air (GTA) akan turut meletakkan calonnya di Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

The Borneo Post memetik timbalan presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Wira Marzuki Yahya sebagai berkata pengundi di Sabah telah mula menerima GTA sebagai alternatif dalam senario politik semasa negara.

Marzuki yang berada di Tuaran baru-baru ini menambah bahawa GTA telah mengenal pasti kerusi parlimen yang akan ditandinginya selepas menilai sambutan pengundi.

“Soal di mana serta calon akan diumumkan kemudian dan apa yang pasti calon itu bukan ahli politik tetapi daripada NGO,” kata Marzuki yang juga setiausaha agung GTA.

GTA ialah gabungan yang terdiri daripada parti politik Melayu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan individu daripada ahli akademik dan profesional yang cintakan negara.

Empat parti yang menganggotai GTA pada masa ini ialah Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Pengerusi protemnya, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini berkata GTA akan bertanding di 120 kerusi parlimen di semenanjung, di mana majoriti pengundi Melayu berada, dan tempat Umno bertanding.

Sementara itu, Marzuki menyaksikan penyerahan borang permohonan menyertai Pejuang Tuaran daripada 2,800 orang awal bulan ini.

Pemohon adalah daripada empat DUN dalam kawasan Parlimen Tuaran iaitu Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu.

Pejuang Kiulu merekodkan 1,045 keahlian baharu daripada empat Pusat Daerah Mengundi (PDM) manakala cawangan Tamparuli menubuhkan dua PDM dengan 918 ahli baharu.

Di DUN Sulaman, 452 permohonan keahlian diterima manakala di Pantai Dalit satu PDM ditubuhkan dengan 385 ahli.

Turut hadir pada majlis itu ialah penyelaras Pejuang Tuaran Ariffin Dzulkiflee, Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Ketua Pejuang Sabah Nicholas Sylvester, pemimpin Pejuang negeri serta wakil dari Putra, Berjasa, Iman dan NGO.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top