TUARAN:Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin akan dapat merampas kerusi Parlimen Tuaran yang kini disandang Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau pada pilihan raya umum Ke-15 (PRU15) akan datang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Katanya, keyakinan itu berdasarkan sokongan masyarakat pribumi dan orang asal Bumiputera terhadap gabungan berkenaan yang semakin kukuh.
Beliau berkata, sokongan itu boleh dilihat berdasarkan peningkatan jumlah ahli dan penubuhan semakin banyak cawangan parti gabungan GRS, khususnya Bersatu yang diketuainya.
“Ramai yang memohon untuk menjadi ahli parti dan menubuhkan cawangan. Di Tuaran saja sebanyak 350 cawangan baharu Bersatu akan ditubuhkan..
“Ini cukup hebat, sayapun tidak sangka banyak cawangan ditubuhkan dan mudah-mudahan mereka faham perjuangan yang dibawa Bersatu.
“Dengan perkembangan ini saya yakin Parlimen Tuaran mampu dimenangi GRS pada PRU akan datang,” katanya ketika menyempurnakan Persidangan Bersatu Tuaran, di sini, pada Ahad.
Hajiji yang juga Ketua Bersatu Tuaran berkata, soal calon yang akan mewakili GRS akan dibincangkan bersama rakan parti dalam gabungan berkenaan.
“Dalam perkara ini, kita akan bincang dengan rakan dalam GRS untuk pilih calon dalam kalangan gabungan untuk kita pertaruhkan pada PRU akan datang.
“Saya yakin dengan sokongan ramai daripada kaum pribumi dan orang asal Bumiputera di Tuaran, GRS akan merampas kerusi Parlimen Tuaran daripada UPKO,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Bersatu dan GRS perlu memperkuatkan parti bagi memastikan perjuangan yang dibawanya diterima rakyat.
Pada PRU lalu, Madius memenangi kerusi berkenaan atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU14 sebelum UPKO meninggalkan BN dan menyertai Warisan bagi membentuk kerajaan negeri pada masa itu.
Kredit foto: FB Hajiji Haji Noor