KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetap dengan pendirian mahu semua perkara atau tuntutan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditunaikan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dalam kenyataan berkata, pendirian itu sekali lagi dinyatakan dalam Mesyuarat Majlis Khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara dalam talian, semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah berkata, perbincangan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berhubung perkara itu masih berjalan dengan kedua-dua pihak komited mencari penyelesaian.
“Perkara ini tidak perlu diperbesarkan kerana yang penting kita telah pun memberi pandangan dan pendirian kita dan kerajaan persekutuan telah memberi respons yang positif.
” Kita juga harus ambil kira bahawa perdana menteri telah secara terbuka memberi komitmen dan jaminan untuk menilai dan berusaha mencari penyelesaian kepada semua tuntutan-tuntutan yang kerajaan negeri kemukakan,” katanya.