KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyambut baik keputusan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap Datuk Peter Anthony menubuhkan parti baharu yang akan mesra kerajaan GRS.
Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, ia juga satu perkembangan baik yang akan menguatkan lagi pentadbiran GRS sebagai kerajaan negeri.
“Kita amalkan demokrasi dan beliau (Peter) membuat keputusan demikian menubuhkan parti baharu yang akan mesra dengan kerajaan GRS.
“Sebagai ketua kerajaan GRS, ini suatu perkembangan yang baik kerana akan menguatkan lagi kerajaan negeri.
“Justeru, kita berterima kasih,” katanya kepada media selepas mengadakan tinjauan banjir di Kota Marudu hari ini.
Bagaimanapun Hajiji menjelaskan, bekas Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu belum menghubunginya secara peribadi bagi menyatakan hasratnya untuk menubuhkan parti politik baharu yang mesra GRS.
Pada 27 Disember 2021, Peter bersama seorang lagi pemimpin WARISAN iaitu ADUN Limbahan Datuk Juil Nuatim mengumumkan keluar parti.
Sebelum itu, tiga ADUN turut bertindak keluar WARISAN iaitu ADUN Sebatik Hassan A. Gani Pg Amir; ADUN Sindumin Datuk Dr. Yusof Yacob dan Ahli Parlimen Lahad Datu merangkap ADUN Segama Datuk Mohamaddin Ketapi.