KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meminta diberi ruang untuk mempertimbangkan permohonan beberapa parti tempatan yang berhasrat menyertai gabungan itu, kata pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor.
Sinar Harian melaporkan Hajiji sebagai berkata, GRS mempunyai perancangan tersendiri dan tidak terburu-buru menerima kemasukan parti lain.
“Kita mempunyai perancangan di dalam GRS, apa yang kita lakukan insya-Allah untuk kebaikan negeri Sabah dan juga perpaduan parti-parti yang ada di Sabah.
“Bagilah kami ruang, bukan terus-terus kita buat begitu (terus terima parti). Kita ada caranya untuk menyatukan dan menerima parti-parti yang ingin bersama dalam GRS,” katanya menurut laporan itu lagi.
Hajiji berkata demikian selepas mengulas kenyataan Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (Upko) Datuk Ewon Benedick bahawa penyatuan dalam GRS hanya cakap kosong kerana sehingga kini beberapa parti yang memohon masuk ke dalam gabungan belum diterima.
Mengulas lanjut, Hajiji yang juga ketua menteri Sabah menganggap, ia hanya pandangan daripada Upko berhubung perkara itu.
Katanya, buat masa ini pihaknya masih lagi mempertimbangkan permohonan beberapa parti itu dengan teliti.
“Permohonan sedang dipertimbangkan secara baik dan teliti,” katanya.
GRS dibentuk, pada Mac lalu, kini dianggotai lima parti iaitu Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).
Sementara itu, antara parti yang sedang memohon untuk menyertai GRS ialah Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Cinta Sabah (PCS) parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan terbaharu, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).