GRS Perlu Demi Kestabilan Politik Sabah – Fairuz

fairuz-adun-Pintasan.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Armada BERSATU Sabah, Fairuz Renddan berkata, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan sebuah kerajaan gabungan yang terdiri daripada pelbagai parti, sekali gus menjadikannya relevan dalam menjalankan usaha membawa kestabilan kepada politik tempatan di Sabah.

“Perkara ini jelas dan saya menyokong apa yang diperkatakan oleh Ketua Penerangan BERSATU Sabah, Khairul Firdaus Akhbar baru-baru ini tentang perlunya GRS didaftarkan dan bergerak sebagai sebuah entiti politik.

“Memang BERSATU Sabah amat yakin dan percaya bahawa masa depan kita semua di Sabah, rakyat, ekonomi dan pembangunan negeri Sabah, mampu dibentuk dan dijayakan dengan kepimpinan sebuah kerajaan yang utuh dan bersatu padu, seperti GRS,” katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Isnin.

Fairuz yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan berkata, kesepakatan pemimpin-pemimpin dalam GRS adalah bukti bahawa pemimpin tempatan Sabah amat mengutamakan janji dan tidak memandang remeh akan amanah yang diberikan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

“Rakyat memilih kita, kita bergerak sebagai sebuah gabungan yang dipilih oleh rakyat Sabah dan untuk tujuan itu, adalah wajar untuk kita terus bergerak dan bekerja untuk merealisasikan apa yang diharapkan oleh rakyat.

“Pastinya segala usaha akan lebih mudah dan perhubungan yang terjalin antara semua parti komponen dalam GRS akan lebih erat dan kukuh jika GRS dapat didaftarkan, yang mana ia adalah suara dan harapan rakyat, yang melambangkan identiti kita di Sabah, identiti anak-anak Sabah.

“Hal ini sekali gus akan semakin menguatkan kita semua dan kekuatan kita yang dibentuk pastinya tidak akan digugat sama sekali oleh pihak luar, biarpun keadaan politik semasa di tempat lain bergoncang,” ujar Fairuz.

Beliau turut mengajak semua rakyat dan pemimpin untuk terus berganding bahu dan bekerjasama dalam membawa perubahan ke arah merealisasikan impian Sabah Maju Jaya.

“Kita semua, tidak kira yang mewakili rakyat (wakil rakyat) atau pun rakyat, harus memainkan peranan masing-masing, membawa kemajuan dan kita bangkit kembali selepas berdepan semua dugaan berat yang datang tanpa kita duga,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top