Oleh: Yussof J. Imbang
KINABATANGAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diyakini mampu mencipta kejutan untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihanr Raya Negeri (PRN) akan datang.
Melahirkan keyakinan itu, Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah, menyifatkan kemunculan parti tempatan itu merupakan jajaran baharu warga Lamag untuk bangkit mengambil pendekatan drastik menerusi Gagasan Rakyat.
Beliau berucap merasmikan Mesyuarat Agung parti Gagasan Rakyat Bahagian Lamag yang diketuai oleh, Abu Bakar Gapar di Dewan Sri Lamag, semalam.
Menurutnya, tahun 2023 menyaksikan ledakan ketara politik Sabah bersandarkan sambutan luar biasa rakyat kepada parti tempatan pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor itu.
“Berdasarkan sambutan positif menerusi perhimpunan pada hari ini, saya percaya akan ada perubahan baharu menyusul di kawasan Lamag menjelang PRN akan datang, ” katanya.
Beliau menasihatkan kepimpinan Gagasan Rakyat Lamag, agar tidak bergerak secara bersendirian, melainkan mewujudkan muafakat bersama parti-parti komponen GRS di kawasan itu.
Masiung juga mengajak rakyat di Lamag supaya mencontohi semangat dan perjuangan Nabi Muhammad bersama tentera Islam ketika menentang kaum Quraisy di medan Perang Badar.
Menurutnya, walaupun pasukan Islam pimpinan Muhammad hanya mempunyai kekuatan 313 orang Muslim, 8 pedang, 70 ekor unta, dan 2 ekor kuda, namun mereka mampu menewaskan kaum Quraisy yang memiliki 1,000 orang, 600 persenjataan lengkap, 700 unta dan 300 kuda.
Katanya, anggota Gagasan Rakyat dan GRS harus ada semangat jihad dengan mengambil iktibar dari sejarah Islam itu menerusi Perang Badar yang berlaku pada bulan Ramadan.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu turut mengingatkan pemimpin GRS supaya menolak sikap tamak yang jelas membawa kerugian besar dalam sebuah perjuangan seperti berlaku dalam Perang Uhud.
Masiung berkata, kronologi Perang Uhud wajar menjadi perbandingan dalam konteks politik Sabah apabila ahli bawahan mengabaikan perintah ketua.
Ketika kaum Quraisy berundur dalam perang Uhud, lantas pejuang Muslim meninggalkan kubu untuk berebut harta rampasan perang.
Akhirnya, tentera Islam hampir lumpuh apabila diserang hendap dari arah belakang akibat bersikap tamak.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sukau, Datuk Juhari Janan turut hadir sebagai pemerhati padang mesyuarat agung tersebut.