GRS Lipat Gandakan Usaha Demi Rakyat dan Negeri

hajiji-setahun-GRS.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memerintah akan terus bekerja, melipat gandakan usaha membela nasib rakyat dan menjaga kepentingan negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS.

“Kerana realitinya kita berhadapan dengan tuntutan serta cabaran semasa yang luar biasa,” kata beliau semasa menyampaikan amanatnya di majlis sambutan Setahun GRS Bersama Rakyat yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) sini kelmarin.

Hajiji berkata, Kerajaan GRS yang dibentuk secara rasmi pada 29 September 2020 bermula dengan ujian getir yang tidak pernah dilalui dalam sejarah.

“Bukan sahaja Kerajaan Negeri perlu bertindak pantas menangani pandemik Covid-19 yang telah menular enam bulan lebih awal, malah Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) itu sendiri telah menjadi faktor tercetusnya gelombang baharu dengan kadar jangkitan berlipat kali ganda serta sukar dibendung.

“Selain krisis kesihatan awam, pandemik ini membawa impak secara langsung kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negeri. Ramai yang kehilangan pekerjaan, terjejas punca pendapatan dan terputus bekalan makanan harian. Hampir keseluruhan aktiviti ekonomi telah terjejas sehingga pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Sabah menguncup 9.5% pada tahun 2020.

“Pada masa yang sama, penularan pandemik ini telah membatasi usaha kita untuk turun membantu rakyat secara bersemuka. Alhamdulillah, kita bersyukur atas keprihatinan dan kerja keras pemimpin akar umbi khususnya para frontliners, Kerajaan berupaya menyalurkan bantuan kepada golongan rakyat yang terjejas,” kata Hajiji.

Katanya, selain berusaha menangani penularan Covid-19, Kerajaan GRS juga berusaha sehabis baik menggerakkan agenda kebajikan rakyat.

“Kita harus memastikan rakyat mempunyai bekalan makanan dan berupaya meneruskan kehidupan. Atas sebab itu, kita segera menyediakan peruntukan untuk menyalurkan pelbagai jenis bantuan kepada rakyat.

“Sebagai langkah segera, Kerajaan GRS telah melancarkan Pakej Bantuan Sabah Prihatin (BSP) yang mensasarkan bantuan tunai one-off yang disalurkan secara langsung kepada rakyat yang terjejas pendapatan. Pelbagai segmen masyarakat telah mendapat manfaat melalui Pakej BSP.

“Setakat 22 September 2021, sejumlah lebih RM471 juta bantuan telah disalurkan termasuk Pengecualian Bayaran Sewa Program Perumahan Rakyat (PPR) serta Pengecualian Bayaran Sewa Gerai dan Permit Penjaja yang berjumlah RM27.2 juta. Bantuan ini telah dikeluarkan melalui tiga siri iaitu BSP 1.0, 2.0 dan 3.0. Bagi BSP 1.0 yang pembayarannya telah selesai sepenuhnya pada 7 Januari 2021, sebanyak RM118 juta bantuan telah diberikan kepada 392,756 penerima. Penyaluran bantuan BSP 2.0 pula telah selesai sepenuhnya pada 22 Jun 2021 melibatkan sebanyak RM120 juta dengan 368,298 penerima. Manakala melalui BSP 3.0, sebanyak RM118 juta telah disalurkan kepada 358,857 penerima,” jelasnya.

Tambah beliau, Bantuan Sabah Prihatin juga melibatkan Bantuan Bakul Makanan (BBM) kepada golongan yang terkesan, iaitu golongan e-Kasih dan B40.

“Bantuan ini turut diagihkan kepada semua penduduk di bawah arahan pengawasan home quarantine sama ada di dalam kawasan PKPD mahupun di luar kawasan PKPD. Setakat ini, sejumlah 1,364,808 bakul makanan bernilai RM131.7 juta telah diagihkan,” kata Hajiji.

Ketua Menteri berkata, sejak dari awal diamanahkan memimpin Kerajaan ini, beliau berpegang kepada prinsip dan semangat kerja berpasukan.

“Saya sedar saya tidak mendirikan Kerajaan ini seorang diri, tetapi melalui permuafakatan rakan-rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah. Dalam menggerakkan Kerajaan ini pula, permuafakatan GRS itu memerlukan dokongan kesepakatan penjawat awam negeri dan persekutuan, termasuk agensi awam lain.

“Saya juga mengharapkan kebersamaan kita pada hari ini melahirkan kesedaran bahawa kita semua adalah barisan tonggak utama dalam Kerajaan ini. Setiap daripada kita punya tugas dan tanggungjawab yang besar, kerana di bahu kita disandarkan harapan dan aspirasi rakyat.

“Pimpinan politik perlu menjunjung mandat yang diberikan rakyat sebagai pemimpin dalam Kerajaan GRS. Manakala, para penjawat awam wajib berpegang kepada ikrar taat setia perkhidmatan awam untuk bekerja sepenuh jiwa dan raga sebagai jentera serta tulang belakang Kerajaan.

“Hasrat saya adalah agar kita sentiasa memahami dan menerima hakikat kepentingan peranan saling melengkapi sesama kita sebagai satu pasukan. Sedarlah bahawa di luar sana ramai yang mengharapkan pimpinan Kerajaan yang jujur, ikhlas dan berkhidmat dengan berkesan,” kata Hajiji, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah.

Hajiji berkata, beliau dan rakan-rakan pimpinan GRS komited untuk memberikan sehabis baik untuk membawa kemajuan dan kesejahteraan yang lebih bernilai dan bermakna kepada negeri dan sekalian rakyat.

“Mandat dan kepercayaan yang diberikan akan kami maknai dengan azam dan tekad untuk memenuhi aspirasi rakyat dan membawa perubahan ke arah kehidupan rakyat yang lebih baik dan berkualiti.

“Pimpinan Kerajaan tidak boleh mencapai hasrat ini secara bersendirian tanpa dokongan para penjawat awam dan rakyat secara keseluruhannya. Gabungan Rakyat Sabah membawa nilai dan citra kebersamaan semua masyarakat di Sabah tanpa mengira perbezaan latar belakang, berkongsi aspirasi untuk membina masa depan yang jauh lebih makmur.

“Ayuh kita bekerjasama, berganding bahu, bersatu demi kepentingan bersama, atas satu matlamat – membina Keluarga Malaysia untuk masa depan Sabah yang lebih maju dan Berjaya,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dan Ketua Umno Sabah; Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, yang juga President Parti Solidariti Tanah Airku (STAR); dan Datuk Dr. Joachim Gunsalam yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), serta ahli Kabinet Negeri dan para pemimpin GRS yang lain. – Warta Oriental

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top