KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH-Plus) terus komited mengutamakan pembangunan negeri serta kebajikan rakyat tanpa melayan provokasi kosong daripada pihak tertentu.
Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Fairuz Renddan, menegaskan bahawa tumpuan kerajaan adalah kepada usaha memastikan segala perancangan berjalan lancar demi kemajuan Sabah, bukan membuang masa melayan kritikan berbentuk dengki dan publisiti tidak bermakna.
“Kita dapat lihat sendiri bagaimana Ketua Menteri bekerja keras sejak mula mengambil alih tampuk pemerintahan. Walaupun berdepan pelbagai cabaran, beliau tetap komited untuk membawa perubahan kepada negeri ini. Sebagai pemimpin, itu adalah tanggungjawab yang berat, terutama menguruskan pelbagai kerenah wakil rakyat,” kata Fairuz dalam kenyataan media pada Sabtu.
Menurut beliau, kritikan yang dilemparkan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Muhammad Affan Jumahat, mengenai Hajiji menggunakan isu ‘palui’ bagi mengalihkan perhatian rakyat terhadap dakwaan kegagalan kerajaan adalah tidak berasas.
“Jangan buang masa dengan kenyataan seperti itu. Kita perlu fokus kepada kerja sebenar. Sebagai anak muda yang baru berjinak dalam politik, Saudara Affan perlu belajar menunjukkan sikap intelektual dan memahami isu sebelum mengkritik,” tambah Fairuz.
Beliau turut memetik pesanan Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, yang menyatakan politik sepatutnya bersifat terbuka dan bukan medan perbalahan tidak matang.
Fairuz, yang juga ADUN Pintasan dan Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, menggesa generasi muda dalam politik, termasuk Affan, untuk menunjukkan adab sopan serta mengemukakan idea bernas yang membawa manfaat kepada rakyat.
Beliau juga menekankan bahawa isu bekalan air, elektrik, dan infrastruktur jalan di Sabah sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri. Namun, semua masalah tersebut memerlukan masa untuk diselesaikan kerana ia adalah isu legasi yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.
Fairuz menyeru semua pihak, termasuk mereka yang mengkritik kerajaan, untuk bersama-sama berganding bahu demi pembangunan Sabah.
“Kita anak muda, banyak idea baharu dan tidak rugi jika kita bekerja beramai-ramai untuk Sabah, itu pun kalau betullah saudara mahu bekerja untuk rakyat Sabah dan menyelesaikan semua masalah-masalah di Sabah, macam yang saudara cakap,” ujar Fairuz lagi.