KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih mempunyai majoriti mudah di sebalik keputusan Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, lapor FMT.
Menurut portal berita itu, Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun berkata, enam wakil rakyat Umno tidak bersetuju dengan keputusan ketua mereka Datuk Seri Bung Moktar Radin (menarik sokongan) dan mahu Hajiji meneruskan khidmat sebagai ketua menteri.
Beliau bagaimanapun tidak menamakan enam ADUN terbabit.
Masidi turut menegaskan GRS masih mempunyai majoriti mudah untuk mentadbir Sabah kerana mereka turut mendapat sokongan daripada tujuh wakil rakyat Pakatan Harapan (PH).
Ia bermaksud GRS yang mempunyai 29 kerusi sedia ada menikmati 43 sokongan wakil rakyat termasuk daripada PH dan Umno.
Sebanyak 40 daripada 79 kerusi DUN Sabah diperlukan untuk membentuk kerajaan.
Masidi yang juga ADUN Karanaan berkata beliau tidak terkejut dengan pengumuman Bung itu.
“Dengan bekerjasama dengan Warisan untuk menjatuhkan kerajaan negeri, mereka sudah lama menarik sokongan,” katanya.
Malam tadi, Bung mengumumkan Umno dan BN menarik balik sokongan mereka kepada Hajiji.
Katanya, keputusan dibuat selepas mendapati pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu melanggar perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) yang dimeterai selepas pilihan raya negeri (PRN) pada 2020.