GRS Boleh Mula Langkah Wartakan 31 Ogos Kemerdekaan Sabah – STAR

Ketua-Penerangan-Star-Jalumin-Bayogoh.jpg

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Sabah yakin Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tiada masalah meminda Perlembagaan Negeri bagi menyesuaikan status baharu Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) atas pindaan perlembagaan Selasa lepas, Ketua Penerangan Star Jalumin Bayogoh (gambar) berkata pihaknya menyokong penuh langkah-langkah yang akan diambil GRS.

“Kita percaya DUN (Dewan Undangan Negeri) Sabah akan mengusulkan pindaan perlembagaan sesuai dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang telah diluluskan Parlimen,” kata Jalumin.

Jalumin menegaskan, pemulihan status yang diluluskan DUN Sarawak merupakan lanjutan dari momentum perisytiharan tarikh 22 Julai sebagai Hari Kemerdekaan bermula 2016 bagi menggantikan 31 Ogos.

Menurut Jalumin, perisytiharan tarikh baharu kemerdekaan Sarawak di Kuching didorong melalui gerakan United Borneo Front (UBF) pimpinan Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan dan kita yakin Sabah boleh merealisasikannya tahun ini.

Jalumin menambah, Dr Jeffrey selaku Presiden Star telah mencadangkan agar Sabah mewartakan 31 Ogos sebagai tarikh kemerdekaan sesuai dengan usul yang telah diluluskan oleh DUN Sabah pada tahun 1963.

Jelasnya, pewartaan tarikh kemerdekaan Sabah tidak memberi kesan penambahan cuti umum kerana tarikh berkenaan sudah diwartakan sebagai cuti umum kemerdekaan Tanah Melayu.

Jalumin melihat, pewartaan tarikh kemerdekaan Sabah adalah berseuaian dengan status baharu Sabah dan Sarawak dalam senarai tersendiri di bawah Borneo, sekali gus meletakkan negeri-negeri di bawah Semenanjung Malaysia dalam senarai berasingan.

Jalumin yang juga Timbalan Pengerusi Korporasi Pembangunan Desa (KPD) menjelaskan, berdasarkan senarai tersebut, Borneo adalah setara dengan Semenanjung Malaysia dan status Sabah dan Sarawak berbeza dengan taraf negeri-negeri di Semenanjung. – Harian Ekspress

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top