PENAMPANG: Ekonomi Sabah kembali ke landasan selepas rakyat mengundi kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri 2020.
Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Penampang Ceasar Mandela Malakun berkata sebelum itu rakyat Sabah menderita kerana kelembapan ekonomi.
Beliau mendakwa kerajaan pimpinan Parti Warisan hampir memusnahkan ekonomi negeri, menguncupkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Sabah daripada paras tertinggi 8.2 peratus pada 2017 kepada -9.2 peratus pada 2020.
“Sebab itu rakyat memilih untuk menyingkirkan Warisan dan rakan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya Sabah 2020.
“Rakyat Sabah menyelamatkan negeri ini dengan mengundi pemimpin yang mereka tahu boleh memulihkan ekonomi,” katanya.
Menurut beliau, ini terbukti kerana hanya dalam tempoh 15 bulan, kerajaan negeri GRS-BN berjaya mengembalikan ekonomi Sabah ke landasan yang betul.
“Tahun lepas, selepas trend penurunan ekonomi berterusan semasa kerajaan Warisan, Sabah berjaya membawa semula KDNKnya kepada 1.1 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Ceasar, yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, menyatakan bahawa amaran mengenai kemelesetan pada 2023 sudah cukup jelas.
Tambah beliau, peluang terbaik untuk rakyat Sabah ialah memastikan mempunyai kerajaan yang tahu bagaimana mengurangkan kesan kemelesetan itu.
“Kita memerlukan pemimpin yang berwawasan dan tahu ke arah mana mereka mahu memimpin Sabah,” katanya.
Kerajaan Sabah sekarang, katanya, sudah pun mempunyai visi ini melalui pelan hala tuju Sabah Maju Jaya. Di bawah pelan itu, sebanyak 584 inisiatif merangkumi 304 inisiatif teras dan 280 pemboleh telah dirangka untuk dilaksanakan sejak 2021.
Banyaknya inisiatif dalam pelan hala tuju adalah mengujakan dan pastinya, kerajaan akan terus menambahnya bergantung kepada kemajuan pelan induk itu.
“Di bawah kerajaan GRS-BN, Sabah kembali ke landasan yang betul. Pendapatan Sabah memecah rekod dengan mencecah RM5.449 bilion pada 2021 dan tahun ini akan menjadi satu lagi kejayaan bagi Sabah kerana hasil negeri kita diunjurkan melebihi RM6 bilion.
“Tetapi tugas itu masih jauh dari selesai. Masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk kebaikan Sabah dan rakyatnya. Cuma yang kami perlukan sekarang ialah sokongan anda, undi anda supaya Pelan Pembangunan SMJ 1.0 (2021- 2025) dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Pembangkang katanya boleh terus bermain politik kerana itu satu-satunya perkara yang mereka mahir kerana mereka telah membuktikan betapa buruknya mereka dalam pemerintahan sebenar.
Beliau menambah Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal boleh berhujah sepanjang hari bahawa bukan salahnya ekonomi Sabah merosot dengan ketara pada 2020 kerana seluruh negara turut mengalami KDNK negatif.
Bagaimanapun, beliau berkata, Shafie terlupa menyatakan bahawa daripada semua negeri di Malaysia, rekod Sabah adalah yang paling teruk. Malah Kelantan mencatatkan pertumbuhan KDNK -1.2 peratus. KDNK Sabah jauh lebih teruk daripada purata negara -5.5 peratus.
Hakikat bahawa kerajaan negeri pada masa ini berjaya memulihkan ekonomi kepada 1.1 peratus pertumbuhan KDNK tahun lepas adalah satu keajaiban, kata Ceasar.
“Tetapi sudah tentu, Shafie akan mengabaikan petunjuk ekonomi ini dan sebaliknya memberi tumpuan kepada perkara seperti pemberian biasiswa Yayasan Sabah kepada pelajar seolah-olah ia hanya bermula pada 2018 semasa Warisan memerintah.
“Adalah penting untuk rakyat mengetahui tentang pertumbuhan KDNK Sabah kerana ia merupakan petunjuk terpenting mengenai kedudukan ekonomi Sabah,” katanya.