GRS-BN Mampu Menang Sehingga 19 Kerusi Jika Bekerjasama, Kata Penganalisis

grs-n-bn.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) mampu menang 19 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, sekiranya dua gabungan itu menjalin kerjasama politik pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, GRS dan BN akan lebih kuat pada PRU15, sekiranya mereka meneruskan kerjasama seperti dalam pentadbiran negeri sekarang, tetapi keadaan sebaliknya bakal berlaku, termasuk hilang lebih banyak kerusi kepada pembangkang, jika dua gabungan itu mengikut haluan masing-masing.

“Saya difahamkan rundingan antara GRS dan BN masih berlangsung. Kedua-dua pihak sedar mereka lebih kuat dan kebarangkalian menang lebih besar seperti pilihan raya negeri pada 2020 boleh berlaku, jika mereka menjalin kerjasama pada PRU15,” katanya kepada FMT.

Beliau memberi contoh kawasan seperti Kudat, Putatan, Kimanis dan Papar akan dimenangi Warisan, sekiranya berlaku pertembungan antara GRS dengan BN.

Selain itu, katanya, GRS dan BN mungkin berpeluang memecah dominasi pembangkang di beberapa kawasan, namun peluang semakin tipis jika mereka saling “bercakaran” pada PRU15 nanti.

Sementara itu, Ramli Dollah juga dari UMS berkata, kerjasama antara GRS dan BN banyak bergantung sejauh mana Umno Sabah diberikan autonomi dalam isu berkaitan PRU15. Katanya, keputusan mengenai gabungan itu perlu diteliti dan dikaji secara mendalam menjelang PRU15.

“Banyak yang ada pada masa ini berasaskan sentimen dan andaian semata-mata. Hanya dengan data dan maklumat lengkap, barulah keputusan terbaik boleh diambil,” katanya dengan menambah Warisan juga perlu diakui mempunyai peluang di beberapa kawasan, berdasarkan data sebelum ini.

Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara pula berkata, kerjasama GRS dan BN dapat membentuk sinergi politik kukuh, dengan syarat konsensus, khususnya dalam pembahagian kerusi dapat dicapai.

Bagaimanapun, katanya, jika kerjasama itu tidak berlaku, sekurang-kurangnya empat blok politik akan bersaing di Sabah pada PRU15, yang memberi peluang kompetitif antara mereka.

“Persoalan sama ada GRS dan BN akan menjalin kerjasama politik pada PRU15 masih menjadi tanda tanya. Masing-masing mempunyai perancangan dan strategi yang mungkin hanya diketahui pada saat-saat akhir.

“Namun, politik Sabah mempunyai sejarah dan dinamik dipengaruhi politik peringkat persekutuan, justeru pelbagai kemungkinan boleh berlaku.”

Terdahulu, Timbalan Pengerusi BN Sabah, Yakub Khan mengesahkan terdapat rundingan antara BN Sabah dan GRS berhubung kerjasama dalam PRU15, tetapi rundingan berkaitan kerusi Parlimen belum dimuktamadkan. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top