KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) berada di peringkat akhir rundingan untuk memilih calon bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan pilihan raya kecil DUN Bugaya, kata Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Ketua menteri Sabah itu berkata mereka yang dipilih adalah calon yang boleh menang dan yang boleh diterima rakyat serta boleh berkhidmat dengan baik.
“GRS dan BN akan sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan kepada sesiapa sahaja yang terpilih,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis konvokesyen Kolej Teknologi Yayasan Sabah (YSCT) di sini, semalam.
Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini menetapkan 19 Nov sebagai hari pengundian dan 5 Nov untuk penamaan calon.
PRK Bugaya akan diadakan serentak dengan PRU15. Kerusi Bugaya kosong selepas kematian ADUNnya Datuk Manis Muka Mohd Darah pada 17 Nov 2020 tetapi pilihan raya kecil itu ditangguhkan berikutan pengisytiharan darurat pada kemuncak pandemik Covid-19.
Hajiji berkata kerjasama antara GRS dan BN dalam pentadbiran Sabah adalah penting bagi memastikan kestabilan serta melaksanakan program dan inisiatif di bawah rancangan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.