GRS Bincang Cadangan PH Sabah Meterai MoU

hajiji-2.jpg
Kongsi Bersama

TUARAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengadakan perbincangan bersama presiden dan pengerusi parti-parti komponen dalam gabungan itu, berhubung cadangan Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan mereka.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, cadangan PH Sabah itu akan diteliti terlebih dahulu dan beliau belum boleh membuat sebarang kenyataan lanjut sebelum mengadakan perbincangan bersama semua presiden dan pengerusi parti komponen GRS.

GRS terdiri daripada gabungan Perikatan Nasional (Bersatu, STAR, SAPP, PAS dan Gerakan), Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC, PBRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ada bertemu dengan beliau baru-baru ini dan telah membangkitkan berhubung cadangan berkenaan.

“Tetapi, dalam perkara ini saya belum boleh membuat sebarang ulasan (lanjut) sehingga saya duduk berbincang dengan rakan-rakan parti dalam GRS. Kita akan meneliti cadangan ini dan kemudian akan buat satu kenyataan,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rancangan pemimpin PH Sabah untuk menandatangani MoU dengan kerajaan GRS, seperti perjanjian PH dengan Putrajaya pada September.

Sebelum itu, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, MoU itu bertujuan menjalin kerjasama bipartisan demi mencapai kestabilan politik di Sabah.

PH Sabah difahamkan mengadakan mesyuarat berhubung pemeteraian MoU itu malam semalam, sama ada akan meneruskan rancangan berkenaan dalam keadaan semasa atau pun sebaliknya. – Bernama


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top