GRS belum bincang isu kerusi PRN Sabah

Nizam.jpg

Datuk Nizam (Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kepemimpinan tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum membincangkan perkara berkaitan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata tumpuan ketika ini ialah untuk melaksanakan agenda pembangunan negeri.

“Perkara berkaitan kerusi DUN Sabah untuk pilihan raya negeri yang akan datang belum dibincang oleh pimpinan tertinggi dalam GRS.

“Fokus Kerajaan Perpaduan GRS Plus Sabah pada masa ini ialah untuk terus komited melaksanakan segala agenda pembangunan negeri dan rakyat Sabah selaras dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee, sebelum ini, mengenai kerusi DUN untuk GRS pada PRN akan datang.

Nizam berkata, kenyataan Teck Lee yang juga Timbalan Pengerusi GRS yang mencadangkan GRS bertanding di semua 73 kerusi DUN hanya pandangan peribadinya.

“Kita menghormati pandangan beliau, namun ia bukan melambangkan pandangan GRS secara kolektif,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Sabah di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika ini dalam kedudukan yang stabil dan berjalan dengan baik atas sokongan semua pihak dalam GRS dan Pakatan Harapan (PH) Sabah.

“Kita hargai dan berterima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh rakan-rakan pimpinan PH Sabah terutama sekali ketika kita menghadapi ‘Langkah Kinabalu’ pada awal tahun ini iaitu krisis politik yang ditimbulkan Parti Warisan (WARISAN) dan sebahagian pimpinan UMNO Sabah.

“Sokongan dan kerjasama yang terjalin dalam kerajaan Perpaduan GRS Plus hari ini dapat diperkukuh dan diteruskan demi kebaikan rakyat dan kepentingan negeri Sabah tercinta,” katanya.

GRS yang didaftar secara rasmi awal tahun lalu dianggotai SAPP, Gagasan Rakyat, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

Pada PRN Sabah hampir tiga tahun lalu, GRS yang dibentuk secara tidak rasmi pada masa itu bekerjasama membentuk kerajaan dengan UMNO-Barisan Nasional (BN) dan kekal sehingga pada Januari lalu.

Kerjasama itu tamat selepas Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Hajiji dan menarik diri daripada kerajaan negeri pimpinan GRS pada 6 Januari lalu.

PH Sabah yang merangkumi DAP, PKR dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) kemudian menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri pimpinan GRS selepas rombakan Kabinet negeri pada 10 Januari lalu.

Ia susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan diterajui PH selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.

Tempoh Kerajaan Sabah ketika ini dijadual berakhir pada September 2025, namun wujud khabar angin kemungkinan DUN dibubarkan seawal tahun depan bagi memberi laluan kepada PRN Sabah Ke-17. – BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top