GRS Akan Terus Perkukuh Kerjasama Dengan BN Sabah, Tidak Perlu WARISAN Atau Bubar DUN

rizal-johari-star.jpg

Rizal

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Cadangan agar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bekerjasama dengan Parti Warisan (WARISAN) atau membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah adalah dilihat sebagai tidak wajar ketika ini.

Penolong Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Rizal Johari berkata, sebaliknya GRS akan terus memperkukuhkan jalinan kerjasama sedia ada dengan Barisan Nasional (BN) Sabah.

“GRS dan BN Sabah mempunyai perancangan bersama dalam usaha untuk membangunkan Sabah yang berpandukan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) Kerajaan Negeri GRS-BN.

“Malah, kedua-dua pihak akan terus memperkukuhkan lagi kerjasama sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Rizal berkata demikian berikutan kenyataan Ketua Bahagian STAR Kapayan, Jafery Jomion yang berpendapat parti pimpinan Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan yang juga selaku Timbalan Ketua Menteri Sabah itu menjalinkan kerjasama dengan WARISAN atau membubarkan DUN Sabah jika tiada jalan penyatuan kerjasama daripada semua pihak atau parti politik.

Menurut Rizal, ini hanyalah pandangan peribadi Jafery.

Beliau juga yakin bahawa GRS dan BN Sabah akan sentiasa mencari titik persamaan dalam usaha untuk mentadbir dan memajukan negeri ini.

“Walaupun adakala kedua-dua pihak tidak sehaluan dalam hal-hal tertentu, kita akan sentiasa mencari dan kembali kepada titik persamaan di antara kita.

“Dan titik persamaan kita adalah perjuangan untuk Sabah dan rakyat negeri ini. Ini tidak seharusnya kita korbankan hanya disebabkan oleh keadaan politik yang berlaku sekarang.

“Atas sebab ini, GRS tidak perlu untuk menjalinkan kerjasama politik dengan WARISAN buat masa ini atau membubarkan DUN untuk membuka laluan kepada pilihan raya negeri.

“Ketika ini, Kerajaan GRS-BN sedia ada perlu tumpukan kepada tanggungjawab mengurus tadbir negeri ini dan teruskan dengan perancangan pembangunan yang telah dirancang,” kata Rizal.

Katanya lagi, apa pun yang sedang berlaku dalam arena politik nasional, rakyat Sabah dan para pemimpin di negeri ini kekal menghargai kestabilan politik di Sabah. – Warta Oriental

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top