GRS Akan Terus Perjuangkan Pelaksanaan Hak Dan Kepentingan Sabah

CM-ulantahun-SAPP.jpg

Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee dan pemimpin kanan SAPP memotong kek sempena Sambutan Ulang Tahun ke-29 parti itu di Dewan Hakka. - Foto: Ihsan Pejabat Ketua Menteri Sabah

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan meneruskan perjuangan bukan sahaja untuk melaksanakan semua hak dan kepentingan seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi juga yang termetrai dan dijamin dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu penting bagi membina pemahaman dan membentuk penerimaan para penggubal dan pelaksana dasar di peringkat persekutuan mengenai MA63.
Justeru, katanya, semasa mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuching, Sarawak pada 20 Jan lalu, beliau bertegas membawa beberapa isu untuk dibincang.

“Isu seperti rundingan susulan berkaitan formula dan semakan Pemberian Khas serta tuntutan 40 peratus di bawah Perkara 112.D boleh disegerakan.

“Juga Hak Negeri Terhadap Pelantar Benua dan Akta Laut Wilayah 2012 yang kerajaan negeri bertekad menolaknya,yang mengehadkan sempadan Sabah kepada tiga batu nautika”, katanya.

Hajiji berkata demikian pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Parti Maju Sabah (SAPP) ke-29 di Dewan Hakka, malam tadi.

Hadir sama, Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee.

Dalam pada itu, Hajiji juga Ketua Menteri Sabah berkata, banyak perkara boleh dicapai sekiranya semua pihak mempunyai hala tuju yang sama dan bersatu padu.

“Matlamat utama dan teras perjuangan kita telah meletakkan hak dan kepentingan Sabah sebagai keutamaan, serta menaikkan martabat Sabah ke kedudukan teratas dalam pelbagai aspek pembangunan.

“Teras Sabah diutamakan sebagai prinsip panduan kita dengan membuat susulan dengan teliti (terhadap) setiap perkara dalam siri perundingan yang sedang berjalan rancak di bawah MA63,” katanya.

Hajiji berkata beberapa kejayaan telah dikecapi termasuk yang terbaru ialah penyerahan kuasa pengawalseliaan gas oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri.

Hajiji berkata, sejarah panjang politik Sabah sewajarnya membawa teladan dan menginsafkan semua untuk bangkit memperbaiki keadaan dengan strategi baharu.

“Marilah kita mengamalkan politik pembangunan yang lebih bermakna dan mempunyai nilai demi membina solidariti dan kesatuan rakyat. Prinsip ini mengajak kita mencari titik persamaan untuk permuafakatan yang menyatukan, bukan perbezaan dan persaingan yang memecahkan”, tambahnya.

Sehubungan itu beliau meminta semua barisan pimpinan SAPP dan GRS agar terus bersama, sehati merintis dan membina landasan perpaduan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top