Graduan Perlu Tingkat Penguasaan Bahasa Inggeris – Azman Hashim

TS-azman-hashim.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pro Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tan Sri Azman Hashim mengingatkan para graduan agar sentiasa meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris.

Menurutnya, tahap penguasaan bahasa pengantar antarabangsa itu kini menunjukkan penurunan dengan ketara.

“Tahap penguasaan Bahasa Inggeris telah banyak menurun. Sebagai contoh, semasa temuduga kerja terdapat banyak graduan yang berprestasi rendah.

“Dalam persidangan antarabangsa juga menyaksikan beberapa pihak dari Thailand dan Indonesia pernah mengusulkan pertanyaan tersebut kepada kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 764 graduan sidang 3, Majlis Konvokesyen UMS ke-22, semalam.

Azman turut memaklumkan, para graduan yang bergraduasi juga tidak bermaksud sesi pembelajaran mereka telah tamat.

“Ia menandakan fasa seterusnya dalam proses pembelajaran anda. Ya, belajar adalah perkara seumur hidup.

“Seperti saya, banyak perkara yang dipelajari dahulu kini tidak lagi relevan. Saya sedang mempelajari banyak perkara baharu yang bersifat kekal dan relevan sesuai dengan masa.

“Dalam dunia perniagaan dan ekonomi, saya perlu belajar tentang dunia siber, keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI), mata wang kripto, bitcoins, pengkomputeran, dron, penyemburan udara, dan penghantaran makanan,” katanya.

Menurut Azman, para graduan juga harus mempunyai nilai yang baik.

“Atribut siswazah ialah kualiti, kemahiran dan pemahaman tahap tinggi yang perlu diperoleh oleh pelajar hasil daripada pembelajaran dan pengalaman yang mereka terlibat semasa berada di universiti.

“Selain itu, para graduan perlu sentiasa mengamalkan integriti yang tinggi dan menghindari budaya rasuah,” katanya.

Hadir sama, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr Taufiq Yap Yun Hin.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top