PUTATAN: Kg Sri Pandan Putatan di sini dipilih sebagai lokasi acara Gotong Royong Mega 1.0 Perangi Aedes Peringkat Negeri Sabah.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, pemilihan tersebut adalah susulan daripada peningkatan kes denggi dalam tempoh enam bulan pertama pada tahun ini dan ia agak merisaukan.
“Setakat hari ini, Kg. Sri Pandan merekodkan peningkatan sebanyak 10 kes denggi berbanding tahun lepas.
“Oleh yang demikian, program yang diadakan serentak di seluruh negara ini adalah sebagai satu langkah untuk menyedarkan masyarakat agar kita sentiasa menjaga kebersihan kawasan persekitaran dari masa ke masa,” ujar beliau ketika berucap sempena program tersebut, pada Sabtu.
Selain itu, Shahelmey turut menyeru penduduk kampung dan orang ramai supaya tidak memandang ringan terhadap penularan wabak berkenaan.
“Walaupun denggi merupakan wabak yang sudah lama didengar, kita harus sentiasa waspada dan mengambil langkah untuk mencegah wabak ini dari terus merebak.
“Oleh itu, saya menyeru semua terutama penduduk di sekitar daerah Putatan untuk bersama-sama membudayakan semangat gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran kita bagi mengelakkan pembiakan nyamuk aedes yang menjadi agen penyebaran wabak denggi.
“Semangat ini juga selaras dengan kempen ‘Putatan Bersih’ yang dilancarkan pada April tahun ini,” tambahnya.
Program yang bermula seawal jam 7.30 pagi disertai oleh 350 orang terdiri daripada penduduk kampung dan kakitangan dari pelbagai agensi kerajaan antaranya, Pejabat Daerah Putatan, Jabatan Air Negeri Sabah, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Pejabat Polis Daerah Putatan.
Hadir sama, Pegawai Daerah Putatan, Haryani Anah Abdul Kahar, Timbalan Pengarah Kanan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Asits Sana, Pegawai Kesihatan Daerah Putatan, Dr. Balachandar S. Sayapathi dan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Promosi Kesihatan Negeri Sabah, Abdul Razak Md Noh. – Warta Oriental