KINABATANGAN: Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mahu pihak polis menyiasat secara terperinci pelaku yang menukar nama beberapa tempat di Sabah kepada Filipina dalam aplikasi peta Google Maps, baru-baru ini.
Jelasnya, perbuatan itu, yang disifatkannya sebagai tidak baik dan tidak bertamadun, boleh mengelirukan masyarakat di seluruh dunia mengenai kedudukan sesuatu tempat di Sabah.
“Ini memang mendatangkan banyak keraguan dan kebimbangan kepada masyarakat.
“Ini juga boleh menjerumuskan negeri Sabah kepada satu situasi yang tidak baik iaitu masyarakat luar negara mahu pergi ke Sandakan, apabila dicari dalam Google, lokasi itu dikatakan di Filipina,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program bersama peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) (Sabah Land Development Board SLDB) di sini hari ini.
Sejak beberapa hari lepas, netizen dari Sabah mendapati nama beberapa tempat seperti Lapangan Terbang Sandakan dan Pasar Besar Tawau disusuli dengan nama negara Filipina.
Namun, hari ini didapati aplikasi itu telah menukar semula nama lokasi berkenaan dengan membuang nama Filipina.
Bung Moktar turut meminta polis untuk mengambil langkah sewajarnya terhadap pelaku terbabit. -Bernama/HMetro