Golongan Profesional Perlu Disertakan Dalam BBN Dan GLC

foo-nge-kee.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan wajar mempertimbangkan untuk menjemput golongan profesional menyertai Lembaga Pengarah Badan Berkanun Negeri (BBN) serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah Foo Ngee Kee berkata, perkara itu boleh dilakukan apabila kini kerajaan negeri memutuskan untuk merombak Jawatankuasa Pemantau Dasar Korporat dan Tadbir Urus Kerajaan Negeri bagi tingkatkan bidang pengurusan korporat semua BBN serta GLC.

“Saya menyambut baik usaha kerajaan ini dan sudah pasti usaha seumpamanya akan memperkasakan lagi pentadbiran badan-badan berkenaan.

“Golongan profesional yang berkelayakan ini sudah pasti mampu membantu mempercepatkan rombakan badan-badan berkenaan.

“Pengalaman dan pengetahuan golongan profesional ini boleh mempercepatkan dan memperkasakan operasi BBN dan GLC seterusnya memberikan faedah kepada kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, Lembaga Pengarah juga wajib memperkenalkan satu polisi operasi yang lancar, telus dan akauntabiliti dalam pengurusan.

“Pengambilan pekerja atau kenaikan pangkat harus berdasarkan merit pemohon dan jawatan berkenaan perlu diluluskan dalam pelan tahunan perniagaan BBN dan GLC.

“Kami berharap dengan rombakan ini, BBN dan GLC dapat diuruskan oleh seorang yang berdaya saing, profesional dan mempunyai integriti tinggi agar mampu menghasilkan pulangan pelaburan positif kepada Sabah,” katanya.

Beliau berkata, peranan BBN dan GLC adalah sangat penting khususnya tanggungjawabnya terhadap penggunaan sumber awam, terutamanya kini apabila kerajaan negeri hanya mempunyai sumber yang terhad bagi membantu rakyat ketika tempoh pandemik COVID-19.

Katanya, Lembaga Pengarah BBN dan GLC harus mempunyai nilai berdaya saing, integriti tinggi dan sentiasa berhemah terhadap pengurusan kewangan.

“Kemudian kerajaan mampu menerima dividen dari BBN dan GLC daripada menyalurkan peruntukan kepada badan-badan berkenaan untuk terus beroperasi,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top