SANDAKAN: Golongan muda perlu mendapat kefahaman yang jelas mengenai makna kemerdekaan sebenar, bukan sahaja membebaskan negara daripada belenggu penjajah.
Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu, berkata kemerdekaan bukan sekadar mentadbir negara mengikut acuan Barat, sebaliknya perlu mengikut kehendak Islam dan adat timur.
“Kita perlu mengisi erti kemerdekaan untuk memartabatkan Islam dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Padang MPS Karamunting, kelmarin.
Sambutan Hari Kebangsaan itu dianjurkan PAS Kawasan Batu Sapi. Pelbagai acara menarik diadakan seperti larian kemerdekaan, pertandingan mewarna patriotik kanak- kanak serta pertandingan masakan.
Norsah berkata, negara kini kembali normal selepas melalui fasa yang sukar akibat penularan Covid-19 dua tahun lepas.
Menurutnya, Allah SWT memberi ujian untuk melihat kesungguhan rakyat berusaha untuk bangkit semula dari kemelut ekonomi dan politik yang berlaku sebelum ini.
Sehubungan itu, katanya rakyat perlu memanfaatkan bantuan kerajaan bagi membantu mempercepatkan usaha pemulihan semula ekonomi negara.
Sementara Norsah yang juga Naib Yang Dipertua PAS Batu Sapi, berharap program ini dapat merapatkan ukhuwah dan silaturrahim antara ahli PAS dan masyarakat setempat.
Beliau turut mengajak penduduk tempatan yang hadir mendaftar sebagai ahli PAS sempena kempen PAS Pilihanku.