Oleh: Jaafar Abdul Wahid
SANDAKAN: Golongan belia masa kini perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan untuk menjadi pemimpin pelapis bagi meneraju negara pada masa depan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, selain berilmu pengetahuan para belia juga perlu memiliki ciri-ciri kepimpinan,b erintegriti dan berwawasan untuk memajukan diri, masyarakat dan negara.
“Adalah satu penghormatan kepada para belia berumur 18 tahun oleh kerajaan Malaysia apabila pada tahun ini mereka dibenarkan untuk mengundi dan ini merupakan satu pengiktaran kepada golongan ini untuk mencorak dan menentukan masa depan negara,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Karnival Belia Keluarga Malaysia 2022 di Kompleks Sukan Sandakan pada Ahad lepas
Bung yang juga Menteri Kerja Raya turut mengingatkan golongan belia agar memanfaatkan peluang yang diberikan oleh kerajaan itu untuk memilih pemimpin dan kerajaan yang benar-benar menjaga rakyat dan negara demi kemajuan dan kesejahteraan yang berpanjangan.
Katanya, golongan belia perlu bijak dan matang memilih kerajaan dan jangan terpedaya dengan helah politik yang hanya untuk kepentingan diri.
Menurutnya, mereka telah merasai dalam tempoh 22 bulan kerajaan Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan mentadbir negara apa yang mereka janjikan kepada golongan belia seperti penghapusan PTPTN dan sebagainya tidak pun dilaksanakan.
Tambah Bung persada politik negara memerlukan golongan muda sebagai pencetus pembaharuan yang nyata, oleh itu mereka seharusnya menjadi pemain penting di pentas politik negara pada waktu muda mereka
Mengenai karnival tersebut Bung menyifatkannya sebagai wadah terhadap penyatuan golongan belia di negeri ini untuk kembali aktif selepas dua tahun tanpa sebarang program yang dianjurkan kerana penularan pandemik COVID-19.
“Kita mengalu-alukan program seperti ini sebagai wadah penyatuan golongan belia selain dapat membantu memulihkan ekonomi golongan ini dan dapat melahirkan anak muda yang berani, berilmu, berkemahiran, mempunyai semangat jitu dan berintegriti,” katanya.
Hadir sama Pembantu Menteri Belia dan Sukan Andi Muhammad Suryady Bandy, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Mohamad Hamsan Awang Supain, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Manila Mokran Ingkat, Ketua Umno bahagian Libaran yang juga Adun dilantik Datuk Suhaimi Nasir dan pengerusi penganjur yang juga Ketua Pemuda Umno bahagian Libaran Sh Ismarhafiz Sh Abd Rahman