Giatkan pembangunan Sabah, Sarawak rapatkan jurang sosioekonomi

zahid.jpg
Kongsi Bersama

PUTRAJAYA: Pembangunan di Sabah dan Sarawak harus dipergiat untuk merapatkan jurang serta mengurangkan ketidaksamaan sosioekonomi khususnya dalam kalangan Bumiputera di kedua-dua negeri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Susulan itu, beliau berkata input dan dapatan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang bakal berlangsung pada 29 Februari ini adalah penting dalam merangka serta membangunkan hala tuju komprehensif penduduk Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

“Dalam tempoh akhir Rancangan Malaysia Ke-12, tumpuan akan diberikan untuk meningkatkan potensi ekonomi wilayah, mempercepat pembangunan bandar mampan dan mempergiat pembangunan luar bandar.

“Penekanan akan diberi kepada mengoptimumkan peluang daripada kerjasama subserantau serta mempergiat pembangunan di Sabah dan Sarawak,” katanya kepada Bernama sempena KEB 2024 yang dijadual berlangsung dari 29 Feb hingga 2 Mac ini.

Ahmad Zahid berkata usaha itu berupaya mengurangkan ketidakseimbangan antara wilayah dan negeri selain menggalakkan pertumbuhan yang lebih saksama serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata selain itu, kerajaan akan mempercepat pelaksanaan inisiatif pertumbuhan hijau termasuk di Sabah dan Sarawak dalam memacu pembangunan sosioekonomi serta kelestarian alam sekitar.

“Pelaksanaan inisiatif ini akan menyokong aspirasi Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat dalam meningkatkan kemampanan masyarakat serta mewujudkan pembangunan bandar dan luar bandar yang lebih seimbang.

“Tindakan segera diperlukan bagi mencapai matlamat pendekatan baharu dalam agenda Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif merentasi kedudukan geografi,” katanya.

Ahmad Zahid juga berkata justeru, keutamaan perlu diberikan kepada pelaksanaan tindakan segera untuk memastikan nasib Bumiputera Sabah dan Sarawak terus dilindungi serta martabat mereka dipertingkat.

Menyentuh pencapaian semasa di kedua-dua negeri, beliau berkata antaranya dari segi transformasi pembangunan luar bandar melibatkan liputan akses kepada elektrik telah mencapai 99 peratus pada 2022.

Ahmad Zahid juga berkata ketika ini, ramai Bumiputera berada di negeri yang mempunyai pertumbuhan ekonomi rendah, berpendapatan isi rumah kasar rendah dan kadar kemiskinan tinggi.

“Sejak tahun 1970, pendapatan isi rumah kasar penengah Bumiputera kekal lebih rendah berbanding kaum Cina dan India manakala jurang pendapatan juga semakin melebar.

“Pada tahun 2022, pendapatan isi rumah kasar penengah Bumiputera ialah RM5,793 berbanding Cina iaitu RM8,167 dan India (RM6,627),” katanya.

Sebanyak 10 kumpulan meliputi 10 sektor akan diwujud dalam KEB 2024 termasuk kumpulan sosioekonomi Bumiputera Sabah dan Sosioekonomi Bumiputera Sarawak.

Kongres tiga hari itu, yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, menyasarkan penyertaan 3,000 orang termasuk wakil Dewan Perniagaan Melayu, Kadazan, Dusun, Iban dan Dayak serta wakil masyarakat Orang Asli. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top