KOTA KINABALU: Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda, menyelar gesaan oleh Ketua Wanita, Ketua Pemuda, dan Ketua Puteri UMNO Sabah yang meminta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, untuk meletakkan jawatan.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berasas, berniat jahat, dan bertujuan merosakkan imej Ketua Menteri.
Menurut Redonah, video-video tular yang mengaitkan beberapa pemimpin Gagasan Rakyat dengan tuduhan tertentu belum disahkan kesahihannya oleh pihak berkuasa.
Beliau menegaskan bahawa tuduhan tersebut bersifat fitnah sehingga siasatan rasmi selesai dijalankan. “Tiada pihak berhak menjatuhkan hukuman atau membuat penilaian sebelum keputusan dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan itu, Redonah turut mendakwa UMNO Sabah cuba mengalihkan perhatian daripada kes mahkamah yang sedang berjalan, yang melibatkan pimpinan utama mereka.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut bertujuan untuk menghasut rakyat dan mencetuskan ketidakstabilan politik di Sabah.
“Mereka seolah-olah ingin mengulangi sejarah Langkah Kinabalu II atau mendesak pilihan raya negeri diadakan segera. Ini menunjukkan keghairahan melampau untuk memegang kuasa, tanpa memikirkan keperluan rakyat Sabah,” ujar Redonah.
Beliau turut memuji kepimpinan Ketua Menteri Sabah, yang menurutnya telah membawa banyak kemajuan dan manfaat kepada rakyat sejak mengambil alih pentadbiran negeri.
“Usaha berterusan beliau dalam merancang hala tuju Sabah terbukti berkesan dan dirasai rakyat hari ini,” katanya.
Tambahnya, pemimpin-pemimpin Gagasan Rakyat bersikap telus dan komited kepada prinsip keadilan serta integriti. Ini dibuktikan apabila beberapa pemimpin yang difitnah secara sukarela tampil memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Redonah menggesa agar semua pihak menghentikan tuduhan serta fitnah jahat dan sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat Sabah.