KOTA KINABALU: Gesaan pemimpin UMNO Sabah agar Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor meletakkan jawatan bukan saja tidak adil dan tetapi satu taktik lama yang bertujuan memporak perandakan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Timbalan Pengerusi GRS Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata tuntutan itu tidak wajar memandangkan pengerusi GRS itu tidak menghadapi sebarang pertuduhan atau kes mahkamah.
Beliau juga menyelar kenyataan UMNO Sabah yang mengheret nama beliau dalam desakan mereka supaya Hajiji meletakkan jawatan.
“Buat apa tarik nama saya ke sana? Kalau bukan tujuan untuk memecah belah dan untuk memporak perandakan pimpinan kita dalam GRS,” katanya merujuk cadangan seorang pemimpin Pemuda UMNO Sabah pada Khamis lalu, yang menggesa beliau mengambil alih jawatan ketua menteri daripada Hajiji.
“Saya faham semua itu, sebab itu saya kata, kenyataan seperti itu (desakan meletak jawatan)sepatutnya tidak keluar dan sebenarnya yang perlu meletak jawatan adalah mereka sendiri.
“Kebanyakan pemimpin mereka sudah disabit kesalahan, ada yang dalam penjara, dalam mahkamah, masih lagi merayu dan ada yang baru-baru kena masuk mahkamah, kena dakwa.
“Jadi ini boleh dikatakan, satu jari menuding ke arah kita, manakala empat jari lagi menuding kepada mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pemuda GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Ahad.
Lebih 2,000 pemuda hadir pada majlis itu.
Turut hadir ialah Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun, presiden parti-parti komponen GRS, dan Ketua Pemuda GRS Datuk Jonnybone J. Kurum.