Geran RM2.55 Juta Untuk Pembangunan Belia Sabah

hajiji-belia.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan geran berjumlah RM2.55 juta kepada Majlis Belia Sabah (MBS) bagi membantu menjalankan program pembangunan belia bersama 17 lagi gabungan di bawah MBS.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, geran berkenaan juga akan menyelaraskan aktiviti sokongan yang dilaksanakan MBS dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu katanya, di bawah Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 3.0, kerjaaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM500,000 untuk pelaksanaan Program Dapur Belia 4.0 yang diselaraskan oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Program MBS Dapur Belia kini berada dalam siri keempat sejak dijalankan pada PKP pertama tahun lepas membabitkan penglibatan MBS bersama badan gabungannya dan kelab belia terpilih di seluruh Sabah.

Menerusi program berkenaan, MBS mengagihkan bakul makanan, pek tenaga untuk barisan hadapan dan pelbagai bantuan lain kepada mereka yang terjejas akibat PKP.

Antara yang menjadi sasaran menerusi Program Dapur Belia 4.0 kali ini adalah belia yang terbabit dalam industri berasaskan ekonomi gig iaitu penghantar makanan Foodpanda yang berjalan kaki dan mengayuh basikal menerima 250 bakul makanan dan 70 topi keledar.

“Dapur Belia 4.0 adalah sinergi antara kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat untuk meluaskan program ini ke seluruh Sabah, terutama bagi membantu golongan belia yang terjejas.

“Setakat ini sebanyak 65 peratus bantuan diberikan kepada golongan sasar bagi Program Dapur Belia 4.0,” katanya selepas menyaksikan penyampaian geran oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Alfred kepada MBS dan NGO di sini pada Ahad.

Hajiji turut berkesempatan melawat ke MBS di Arena Belia untuk meninjau Program Dapur Belia 4.0.

Pihaknya dimaklumkan Arena Belia turut menyediakan bank makanan dan sehingga kini lebih 2,000 orang datang mendapat bantuan makanan di pusat berkenaan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulih Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan baru-baru ini.

Beliau berkata, kerajaan memperluaskan elaun pencari kerja kepada bukan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) khususnya dalam kalangan graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja di sektor tidak formal.

“Penyediaan jaringan keselamatan sosial kepada belia Sabah yang kehilangan pekerjaan sangat penting dalam menyokong aspek industri dan sosio-ekonomi kumpulan ini

“Sehingga Disember 2020, PERKESO Sabah memberikan bantuan berjumlah RM16.8 juta kepada 4,434 pekerja yang kehilangan pekerjaan dan sehingga April tahun ini, sejumlah RM3.8 juta elaun bantuan disalurkan kepada 851 belia yang kehilangan pekerjaan di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, program jaringan keselamatan sosial merangkumi semua sektor termasuk dalam ekonomi gig.

Pada masa sama, Hajiji turut memuji inisiatif bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah, MBS dan PERKESO untuk membantu belia yang kehilangan pekerjaan ketika PKP menerusi portal MyFutureJobs.

Portal MyFutureJobs berfungsi sebagai pusat sehenti yang menyediakan rujukan bagi pencari kerja selain menawarkan padanan pekerjaan dan program pasaran pekerjaan yang aktif bermula daripada penempatan pekerjaan, perundingan kerjaya serta kaunseling kepada mereka yang mengalami kesukaran.

Pada majlis itu, Hajiji juga menyaksikan penyerahan replika cek daripada PERKESO sebanyak RM265,180 kepada dua majikan sebagai insentif untuk mengadakan program latihan kepada pekerja mereka.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top