Geran Khas Tahunan: Sarawak Mahu Agihan Ikut Pendapatan Kerajaan

abang-johari.jpg
Kongsi Bersama

KUCHING: Rundingan dengan kerajaan persekutuan masih berlangsung untuk mencari formula sesuai berkaitan pemberian geran khas tahunan kepada Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Premier Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Openg, berkata jumlah geran untuk negeri itu tidak seharusnya ditetapkan, sebaliknya diberi berdasarkan hasil pendapatan tahunan kerajaan persekutuan.

“Kami (Sarawak) amat praktikal dan pragmatik. Apabila anda (kerajaan persekutuan) meraih keuntungan, anda berkongsi (dengan Sarawak). Ia perlu berasaskan satu formula dan jika keadaan negara tidak begitu baik, kita sama-sama memikul bebannya.

“Jadi, berdasarkan formula itu, jika hasil pendapatan (kerajaan persekutuan) berkurangan maka jumlah geran juga akan kurang, anda tidak boleh tetapkan (jumlahnya). (Pada masa sama) Kita juga perlu mengambil berat tentang kedudukan kewangan kerajaan persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Gedong, di sini, pada Khamis.

Abang Johari berkata, isu mencari formula yang sesuai berkaitan pemberian geran itu sudah dibangkitkan sejak pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), sebelum ini.

“Saya amat tegas dalam isu ini dan semasa pentadbiran kerajaan PH, saya sudah mencadangkan formula ini kepada menteri kewangan ketika itu namun sehingga kini, mereka belum menghasilkannya,” katanya.

Pada 22 Nov tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata perjanjian yang lebih baik untuk kedua-dua negeri sedang dibincangkan dengan kerajaan menerusi Jawatankuasa Perundingan Bersama (JCC) mengenai geran khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top