KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor mengumumkan geran khas Kerajaan Persekutuan berjumlah RM125.6 juta untuk Sabah tahun ini akan digunakan untuk membina sejumlah 1,500 unit Rumah Mesra SMJ di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata, Rumah Mesra SMJ, yang sebelum ini dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat Termiskin atau PPRT (Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar), akan diagihkan sama rata kepada semua DUN di Sabah.
“Keputusan ini selaras dengan inisiatif Haja Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) Kerajaan Negeri untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan mereka akan mendapat akses kepada rumah mampu milik.
“Lebihan dana daripada peruntukan itu akan digunakan untuk membaiki jalan, jambatan gantung dan infrastruktur lain serta harta benda yang rosak akibat banjir,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Rabu.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Hajiji dalam satu kenyataan bersama menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk meningkatkan pemberian khas tahunan untuk Sabah sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta mulai tahun ini.
Hajiji berkata, ia adalah permulaan yang baik untuk Sabah sambil memastikan dana itu akan digunakan dengan baik untuk manfaat rakyat dan negeri.
Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri GRS-BN berazam untuk memperoleh lebih banyak lagi melalui rundingan yang masih berjalan bagi mendapatkan 40 peratus seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Hajiji, yang juga Pengerusi GRS dan Ketua BERSATU Sabah berkata, ini adalah antara banyak kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan Negeri GRS-BN dalam tempoh dua tahun memerintah.
Antara yang hadir ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II yang juga Timbalan Ketua BERSATU Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, Setiausaha, Datuk Mohd. Razali Mohd. Razi, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd. Ariffin Mohd. Arif yang juga Bendahari BERSATU Sabah, Ketua Penerangan, Firdaus Akhbar Khan, Ketua Armada BERSATU Sabah, Fairuz Renddan dan Ketua BERSATU Srikandi Sabah, Datuk Azizah Dun serta wakil rakyat lain.