Geran Khas Manfaatkan 507 Projek Pelancongan

Jafry-ariffin.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Geran khas Kerajaan Negeri telah memberi manfaat kepada 507 projek pelancongan di Sabah, kebanyakannya di kawasan luar bandar.

Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan data, geran sejumlah RM10 juta yang disalurkan itu berupaya meringankan beban pemain industri pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Selain itu geran khas yang disalurkan itu juga telah membantu pemain industri pelancongan untuk bangkit semula.

“Geran khas itu digunakan untuk menaik taraf kemudahan pelancongan di 27 daerah dan kebanyakan di kawasan pantai barat dengan sejumlah 248 projek keseluruhannya.

“Daerah lain yang menerima manfaat daripada geran terbabit ialah 92 projek pelancongan di kawasan pedalaman, Sandakan (82), Kudat (45) dan Pantai Timur (40),” menurut kenyataan itu di sini pada Jumaat.

STB berkata, komponen projek berkenaan termasuklah naik taraf papan tanda, laluan pejalan kaki, dewan terbuka, pentas pertunjukan, tandas awam, jeti, pusat maklumat pelawat, laluan mendaki, mencantikan landskap, bengkel kraftangan, kawasan parkir dan sebagainya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata, para pegawai kementerian bersama pasukan STB telah turun padang untuk memastikan geran disalurkan itu digunakan sepenuhnya untuk semua projek berkaitan pelancongan yang telah diluluskan.

“Geran ini terbukti menjadi sumber penting dalam tempoh sukar ini, khususnya pengusaha pelancongan kawasan pedalaman. Banyak kemudahan asas pelancongan kini sudah dinaik taraf, ia bukti langkah positif diambil untuk memperkasakan destinasi pelancongan pedalaman.

“Kerajaan menerusi kementerian ini komited untuk menyediakan perkhidmatan serta layanan lebih baik kepada semua tetamu, khususnya pelawat antarabangsa yang bakal tiba apabila sempadan negara dibuka nanti,” katanya.

STB telah membantu dalam menyalurkan geran khas berkenaan kepada pengusaha pelancongan yang terjejas akibat COVID-19. Setiap pemohon layak untuk menerima sejumlah RM20,000.

Selain pengusaha pelancongan pedalaman, pemohon lain termasuklah organisasi pelancongan bukan kerajaan, perkampungan kebudayaan, persatuan pelancongan, penyedia penginapan, operator pelancongan dan agensi kerajaan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top