Geopark Negara Kinabalu Diisytihar Sebagai Geopark Global UNESCO

geopark.jpg

Suasana awal pagi di Taman Kinabalu di sekitar Gunung Kinabalu, Sabah. Taman Geologi Unesco Kinabalu meliputi kawasan seluas 4,750 kilometer persegi. - Foto BERNAMA

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah kini menjadi pemilik tapak Unesco Triple Crown, yang ketiga di dunia yang mempunyai pengiktirafan sedemikian, berikutan pengisytiharan Geopark Negara Kinabalu sebagai The Kinabalu UNESCO Global Geopark.

Mengumumkan perkara ini pada Jumaat, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Sabah menyertai Pulau Jeju di Korea dan Shennongjia di China yang mempunyai tiga tapak Unesco.

Keputusan itu dibuat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) di Paris pada 24 Mei.

Dua lagi ‘crown’ Unesco di Taman Kinabalu ialah Tapak Warisan Dunia (diisytiharkan pada 2 Disember 2000) dan Tanah Simpanan Biosfera Banjaran Crocker Unesco (diisytiharkan pada 12 Jun 2014).

“Ini adalah satu pencapaian hebat bagi kerajaan negeri di bawah inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta Taman-Taman Sabah.

“Geopark Global UNESCO Kinabalu yang meliputi kawasan seluas 4,750 kilometer persegi, kini secara rasminya merupakan destinasi Geopelancongan Global yang menambah nilai penting kepada produk eko-pelancongan sedia ada Sabah.

“Geopark ini adalah kediaman kepada banyak tumbuhan dan haiwan, termasuk 90 spesies orkid yang hanya terdapat di Gunung Kinabalu.

“Ini termasuk burung ayam hutan berkepala merah yang tidak ditemui di tempat lain di muka bumi ini yang akan membawa manfaat secara langsung dan tidak langsung kepada sosioekonomi Sabah, khususnya kepada lebih 290,000 masyarakat tempatan dalam daerah Kota Belud, Kota Marudu dan Ranau,” katanya.

Dengan pengisytiharan Geopark Negara Kinabalu sebagai Geopark Global UNESCO, kini terdapat 195 taman geologi di dunia yang terletak di 48 negara.

Label Geopark Global UNESCO mengiktiraf warisan geologi yang mempunyai kepentingan antarabangsa dan geopark memberi perkhidmatan kepada masyarakat tempatan dengan menggabungkan pemuliharaan warisan geologi penting mereka dengan outreach awam, selain pendekatan mampan untuk pembangunan.– BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top