Geng Gurun Diketuai Bekas Tentera Tumpas Di Kota Kinabalu

geng-gurun.jpg

Mohd. Zaidi (dua dari kiri) menunjukkan enam ahli Geng Gurun yang masih diburu polis.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Geng Gurun yang diketuai oleh bekas anggota tentera yang terlibat dalam 19 kes pecah rumah sejak enam bulan lalu tumpas dengan tertangkapnya ketua dan beberapa ahli kumpulan penjenayah berkenaan.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, kesemua suspek yang berusia 33 hingga 62 tahun itu ditahan dalam beberapa siri tangkapan sekitar Kota Kinabalu sejak awal Februari.

Siasatan awal mendapati, ketua geng tersebut ialah lelaki berusia 34 tahun berasal dari Gurun, Kedah dan pernah bertugas sebagai anggota tentera sebelum dibuang kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Hasil siasatan mendapati kumpulan yang dikenali sebagai Geng Gurun menjalankan 19 jenayah pecah rumah sekitar ibu negeri sejak enam bulan lalu.

“Mereka melarikan pelbagai barangan berharga termasuk wang tunai, barang kemas, beg dan jam tangan jenama antarabangsa, telefon bombit, komputer riba, peti besi, sepucuk pistol serta pelbagai barangan lain dengan membabitkan kerugian mencecah RM500,000.

“Geng Gurun ini juga terlibat dalam beberapa kes jenayah pecah rumah di beberapa daerah sekitar termasuk tiga kes di Tuaran, dua kes masing-masing di Kota Marudu dan Penampang dengan kerugian sehingga RM200,000,” katanya dalam sidang media di IPD Kota Kinabalu di sini pada Khamis.

Menurut beliau, kumpulan penjenayah itu menyasarkan rumah mewah bagi mencuri pelbagai barangan berharga termasuk wang tunai, barang kemas, beg dan jam tangan berjenama, telefon bimbit, komputer riba, peti besi serta pistol.

“Modus operandi mereka adalah menyasarkan rumah-rumah mewah termasuk rumah orang kenamaan dengan bertindak memecah masuk melalui jendela atau melompat pagar semasa penghuni tidak berada di rumah.

“Barangan yang dicuri kemudian dijual di kedai pajak gadai sekitar daerah ini dan Kota Belud. Malah, barangan curi turut dijual kepada pembeli yang berada di Ampang, Selangor dengan menggunakan perkhidmatan penghantar barangan atau kurier,” katanya.

Mohd. Zaidi berkata, pihaknya turut bertindak menangkap pembeli yang terlibat dan menemukan pelbagai barangan berharga lain yang dipercayai hasil curi susulan kegagalan suspek mengesahkan sumber barangan itu diperoleh.

Jelas beliau, kesemua suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, polis kini sedang memburu enam lagi rakan jenayah kumpulan berkenaan.

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top