Generasi Muda UMNO Perlu Sesuaikan Diri Dengan Perubahan Semasa – Bung Moktar

Bung-Moktar.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli UMNO khususnya generasi muda perlu menghayati sejarah perjuangan parti itu seterusnya menyesuaikan diri dengan perubahan semasa bagi membolehkan UMNO kekal relevan dan menjadi pilihan rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata UMNO yang kini menjengah usia 77 tahun bukanlah sebuah parti yang lahir di jalanan tetapi daripada jerih perih pemimpin terdahulu dalam menuntut kemerdekaan sehingga Malaysia menjadi sebuah negara merdeka dan berdaulat.

“Sehingga kini, parti keramat ini masih mampu bertahan,” katanya dalam kenyataan sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-77 hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata UMNO tidak boleh bersandar semata-mata kepada sejarah tetapi mesti menunjukkan bahawa sebagai sebuah parti yang lahir 77 tahun lalu, ia tetap relevan dan menjadi parti pilihan rakyat.

“Kita mesti menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran kerana sehebat manapun kita, jika tidak mahu melakukan perubahan, kedudukan parti ini akan tergugat,” katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Menurutnya, adalah menjadi keutamaan untuk memperkukuh gerakan parti itu di semua peringkat, selain memperkuat perpaduan ahli dan menterjemah jalinan kerjasama berpasukan antara semua pemimpin bagi memastikan slogan “UMNO dulu, kini dan selamanya” terus relevan.

Dalam konteks UMNO Sabah pula, Bung Moktar berkata parti yang sudah bertapak selama 33 tahun di Negeri di Bawah Bayu itu telah memberi khidmat terbaik dengan membawa banyak pembangunan dan pembaharuan ke arah kemajuan demi manfaat rakyatnya.

“Selama tempoh 28 tahun menjadi kerajaan di Sabah, banyak pembangunan untuk kesejahteraan rakyat telah UMNO perjuangkan, tiada siapa boleh menafikannya” kata Ketua Bahagian UMNO Kinabatangan itu.

Bung Moktar juga berkata UMNO Sabah yakin sokongan akar umbi masih kukuh dalam memastikan kesinambungan perjuangan parti itu di Sabah meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk segelintir pemimpinnya bersikap seperti ‘gunting dalam lipatan’.

“Tindakan mereka sedikit pun tidak menggugat kekuatan UMNO Sabah,” tegasnya.

— BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top