KOTA BELUD: Gendang pilihan raya umum ke-15 yang dijangka tidak lama lagi mula dipalu hari ini dengan rayuan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Bung Mokhtar Radin kepada pengundi supaya menolak calon-calon barisan pembangkang atau pihak lawan.
Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata tidak ada sebab pengundi mensia-siakan undi mereka kepada calon pembangkang.
“BN mempunyai rekod prestasi yang baik dalam membawa pembangunan di Sabah dan menunaikan sebahagian besar janji yang dibuat pada PRU14.
“BN juga sentiasa menjaga kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Tidak perlu lagi memilih calon pembangkang, khususnya di Kota Belud dan Tuaran kerana BN sudah membuktikan kemampuannya,” katanya.
Bung, yang juga Ketua UMNO Sabah berkata demikian ketika berucap sempena majlis pelancaran jentera pilihan raya BN dan Perhimpunan Gelombang Biru bagi kawasan Parlimen Kota Belud dan Tuaran di Dewan Masyarakat Tun Said, di sini pada Sabtu.
Turut hadir Pengarah Operasi Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Ketua UMNO Bahagian Kota Belud Fadli Juanas dan Ketua UMNO Bahagian Tuaran Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Bung berkata parti itu sudah mengenal pasti calon berpotensi untuk kerusi parlimen Kota Belud, dan pucuk pimpinan kini sedang meneliti senarai itu.
“Apa yang penting bagi kami ialah BN yang bertanding dalam pilihan raya, bukan individu. Tetapi jika individu itu boleh menang dan diterima oleh rakyat, orang itu akan menjadi calon kita,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan sokongan semasa terhadap parti itu, BN yakin boleh merampas semula kerusi parlimen Kota Belud dan Tuaran.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Bung berkata pucuk pimpinan UMNO Sabah akan memutuskan calon untuk PRU15 manakala watikah pelantikan akan dikeluarkan oleh UMNO pusat.
Berita asal: Jesselton Times