Cadangan untuk menukar gelaran bagi jawatan ketua kerajaan Sarawak daripada “Ketua Menteri” kepada “Premier” tidak bermaksud adanya sebarang peningkatan pembiayaan bagi ketua pentadbiran negeri itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Katanya, ini adalah soal status dan gelaran baharu berkenaan tidak akan membawa pulangan kewangan kepada penyandangnya.
Beliau menambah, gelaran “Premier” bukanlah benar-benar asing memandangkan pemimpin kerajaan negeri di Australia turut menggunakan gelaran sama.
“Australia juga (negara) bersekutu sama seperti kita, dengan seluruh negaranya mempunyai kerajaan dan Parlimen persekutuan, serta kerajaan negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Tambahnya, sebarang keputusan yang dianggap tepat oleh kerajaan Sarawak, termasuk keputusan penukaran gelaran tersebut, tidak sepatutnya menjadi isu selagi perkara itu diluluskan di DUN.
Wan Junaidi berkata, satu-satunya isu kecil yang akan timbul adalah perkataan Melayu untuk gelaran baharu itu. Kerajaan negeri mungkin perlu berunding dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam hal ini, tambahnya.
Beliau menegaskan, ini bukan sekadar perubahan kosmetik kerana ia melibatkan status rakyat Sarawak.
Penukaran gelaran itu akan dibuat dalam pindaan perlembagaan yang akan dibentangkan di DUN hari ini. Rang undang-undang itu turut mencadangkan gelaran “Menteri Muda” ditukar kepada “Timbalan Menteri”.
Cadangan ini dibuat beberapa hari selepas Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menetapkan semula Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang setara dengan Semenanjung dalam pembentukan Malaysia pada 1963.
Berita asal: FMT