Gegaran Gempa Bumi Di Tarakan Kejutkan Penduduk Tawau

IMG_20211230_200622.jpg
Kongsi Bersama

Beberapa kawasan di Tawau dikejutkan dengan gegaran akibat gempa bumi lemah bermagnitud 4.3 pada skala Richter yang melanda Tarakan, Indonesia, pada 2.09 pagi ini.

Penduduk Kampung Titingan Blok 5, Yusri Yahya, 49, berkata seluruh keluarganya seramai 10 orang terjaga dari tidur selepas rumahnya tiba-tiba bergegar beberapa saat.

“Kami sekeluarga terus keluar rumah kerana takut dan di luar, jiran-jiran pun keluar rumah, masing-masing terkejut dengan gegaran itu, selepas rasa semuanya selamat baru kami semua masuk semula ke rumah,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, kejadian seumpama itu kali pertama berlaku iaitu gegaran begitu kuat sehingga rumah turut dirasakan bergoyang, namun beliau bersyukur kerana tiada sebarang kerosakan dan keluarganya selamat.

Sementara itu, penduduk Rancangan Kampung Ranggu, Aminah Parok, 57, berkata beliau turut terasa gegaran selama lima saat ketika sedang menonton televisyen di ruang tamu rumahnya.

“Saya biasa tidur lewat dan pada 2.10 pagi tadi sewaktu menonton televisyen, tiba-tiba terasa gegaran kecil dan zink atap berbunyi seperti direntap, tetapi waktu itu saya tidak fikir apa-apa dan saya terus menutup televisyen dan masuk bilik untuk tidur.

“Pagi ini ketika melihat Facebook, terbaca maklumat mengenai gempa bumi lemah berlaku di Tarakan, Indonesia awal pagi tadi,” katanya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Tawau ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sehingga kini tidak menerima sebarang panggilan kecemasan mengenai gegaran berkaitan gempa bumi berkenaan.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, pusat gempa itu terletak 79 kilometer barat daya dari Tawau, Sabah.

– Bernama


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top