KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Hoki Sabah, Datuk Seri Dr. Anil Jeet Singh bakal memberikan ganjaran kepada para pemain wanita pasukan itu susulan kejayaan mereka menjuarai Piala Tun Abdul Razak 2023.
Sabah mencipta sejarah sebagai pemenang baharu kategori wanita pada edisi kelapan kejohanan itu selepas menewaskan juara bertahan, Selangor 2-1 dalam aksi final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil kelmarin.
“Kita dah janji (ganjaran) kepada pemain-pemain. Beberapa lembaga eksekutif hoki sabah juga telah memutuskan untuk tambah jumlah yang saya bagi,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh KOSMO! ONLINE.
Walaupun ketinggalan awal kepada Selangor menerusi Alyaa Zulfah Mohd. Fadzli tetapi Sabah bangkit memenangi perlawanan dengan dua gol daripada Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun dan Cyrachilld Rojos.
Menurut laporan itu lagi, Anil yang juga Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengakui, amat berbangga dengan semangat juang ditunjukkan anak-anak buah Hasnul Jideh pada perlawanan akhir itu.
“Mereka telah buktikan kejayaan ini. Ini yang harus kita bimbing untuk generasi akan datang, bukan sahaja Sabah tetapi juga negeri-negeri lain demi melahirkan pelapis-pelapis buat pasukan kebangsaan,” jelasnya.
Tempat ketiga kategori wanita menjadi milik Melaka selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-1 menerusi jaringan Norshafiqha Ishak dan Suhaila Sata.