Gangguan seksual di hospital Sabah, Menteri ikrar akan siasat

Dzulkefly.jpg

Dr Dzulkefly

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menyatakan bahawa kementeriannya akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan gangguan seksual yang melibatkan seorang kakitangan Hospital Queen Elizabeth 1 di Sabah.

Menurut Malaysiakini, Dzulkefly berkata kepada media selepas Program Kesejahteraan Kesihatan Bersama Ahli Parlimen di ibu negara, pihak kementerian akan menyiasat dakwaan tersebut secara terperinci.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa siasatan kementerian tidak akan mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak polis, dan tindakan lanjut akan diputuskan berdasarkan hasil siasatan polis.

Dzulkefly turut enggan memberikan sebarang komen berhubung status tugas suspek yang terlibat apabila ditanya sama ada individu tersebut masih dibenarkan bertugas di hospital.

Terdahulu, seorang kakitangan hospital berusia 32 tahun mendakwa beliau menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang penolong pegawai perubatan (MA) semasa menjalani prosedur perubatan pada bulan Jun lalu.

Kakitangan tersebut mengaku telah membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan dan pihak polis, namun merasa tidak mendapat maklum balas seperti diharapkan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda mengesahkan pihaknya ada menerima laporan daripada pengadu dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu berkenaan kesalahan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan seseorang, dan membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, sebat atau denda.

Kasim turut mengesahkan suspek telah disoal siasat dan dibebaskan dengan ikat jamin, dengan polis sedang menunggu laporan perubatan untuk tindakan lanjut.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top