Gangguan Bekalan Elektrik, Sejumlah Pesakit QEH1 Terpaksa Dipindah

IMG_20220420_004819.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) di sini mengalami gangguan elektrik menyebabkan sejumlah pesakit terpaksa dipindahkan ke QEH2 di Damai.

Portal berita FMT memetik Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Rose Nani Mudin aebagai berkata, kes pembedahan turut dipindahkan ke QEH2.

Katanya, gangguan elektrik itu membabitkan menara berkembar, klinik pakar dan blok perubatan lama QEH1 pada 11.54 pagi semalam.

“Pada 12.08 tengah hari, syarikat konsesi Sedafiat menghubungi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan pada 12.29 tengah hari, satu ‘troubleshooting’ dibuat bagi mencari punca gangguan elektrik,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, QEH1 mendapat set penjana kuasa tambahan sebagai sokongan terhadap penjana kuasa sedia ada, selain SESB turut memberikan dua set penjana kuasa mudah alih.

“Pada 8 malam, selepas dua set penjana kuasa mudah alih berfungsi, semua wad dan unit rawatan rapi (ICU) mendapat bekalan elektrik, kecuali dewan bedah.”

Laporan FMT itu juga menyatakan sehingga malam tadi SESB dan syarikat konsesi masih berusaha membaiki kabel yang tidak berfungsi.

Terdahulu, The Star melaporkan pesakit terpaksa dirawat dalam keadaan gelap “dengan kakitangan perubatan sama ada menggunakan lampu suluh atau lampu telefon bimbit untuk bergerak”.

Menurut laporan itu, bekalan elektrik di kawasan tertentu hospital itu pulih semula sekitar 4.40 petang.

Ia turut memetik pegawai SESB sebagai berkata, gangguan bekalan elektrik itu disebabkan masalah “dalam hospital itu sendiri”.

 

 

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top