Gangguan Bekalan Air Sekitar Sepanggar Dijangka Selesai Selepas Projek Loji Rawatan Air Telibong Fasa 2 Siap – Bung

Bung-2.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abdul Wahid

TAMPARULI:  Gangguan bekalan air yang dialami oleh penduduk di kawasan Sepanggar Unversiti Apartment , Bandar Sierra, Taman Rimba Manggatal  dan sekitarnya dijangka pulih selepas Loji Rawatan Air Telibong  Fasa 2 beroperasi  sepenuhnya menjelang tahun 2023.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, projek itu bakal meningkatkan  kapasiti 160 juta liter sehari (MLD) berbanding 80 juta MLD ketika ini.

“Projek ini tertangguh dari jadual asal penyiapannya, pihak kontraktor telahpun diberikan pelanjutan masa untuk menyiapkanya dan berharap ianya dapat disiapkan seawal tahun 2023 agar isu gangguan bekalan air di Sepanggar dan sekitarnya dapat ditangani segera,” katanya ketika dtemui selepas mengadakan lawatan mengejut bagi melihat kemajuan pelaksanaan projek Loji Rawatan Air Telibong Fasa 2 kemarin.

Turut serta Pengarah Air Negeri Sabah Edward Lingkapo, pegawai-pegawai kanan Jabatan Air dan konsultan projek berkenaan.

Bung berkata beliau ingin melihat dari bulan ke bulan  projek tersebut menampakan kemajuan perlaksanaannya dari kontrator pelaksana bagi mencapai sasaran projek tersebut siap sepenuhnya pada tahun 2023.

“Kita bukan mendesak kontrator pelaksana, kita faham dalam situasi sekarang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasakan adalah antara kekangan yang dihadapi oleh kontrator namun jangan jadikan ini sebagai alasan projek ini tidak menampakkan kemajuan pelaksanaannya,” tegas Bung.

Bung diberikan penjelasan oleh Pengarah Air Edward Lingkapo ketika melawat Loji Rawatan Air Telibong Fasa 2.

Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya  kapasiti sedia ada ketika ini tidak dapat menampung keperluan air bersih yang  meningkat berikutan pertumbuhan pesat  Bandar Raya Kota Kinabalu menyebabkan ada kawasan berdepan dengan gangguan air.

“Selain itu antara faktor lain menyebabkan gangguan ialah pembinaan projek projek pembangunan antaranya  projek  Pan Borneo, kecurian air dan masalah pencemaran air Sungai Tuaran di mana apabila keadaan airnya keruh ia tidak dapat diproses,“ tambah beliau.

Bagi mengatasi masalah air keruh tidak dapat diproses, Bung menjelaskan Kementerian Kerja Raya akan melaksanakan projek pembinaan kolam takungan air  di mana ini merupakan antara langkah penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah gangguan air di negeri ini.

“Seperti  Projek Loji Rawatan Air Telibong fasa 2 ini kita mempunyai dua kolam takungan air di mana ini  boleh mengatasi masalah air keruh tidak dapat diproses atau ketika musim kemarau air akan disalurkan dari kolam takungan,” katanya.

Menurut Bung pembinaan kolam takungan air akan diperluaskan di beberapa buah daerah di Sabah antaranya Beaufort, Pitas, Sipitang dan lain-lain daerah.

“Kita akan perincikan rancangan pembinaan ini untuk memohon peruntukan dari kerajaan di mana langkah ini adalah langkah jangka panjang untuk mengatasi masalah gangguan air yang berlaku di seluruh Sabah” tambah Bung.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top