Gaji lebih tinggi tarik rakyat Sabah berhijrah – kajian DOSM

cari-kerja.jpg

Gambar hiasan

KOTA KINABALU: Tarikan gaji dan upah yang lebih baik mendorong banyak rakyat Sabah sedia untuk berhijrah, demikian hasil kajian terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut Kajian Aspirasi Pencari Kerja di Sabah yang dijalankan oleh jabatan itu sepanjang rahun 2024, kebanyakan responden bersedia untuk berpindah ke negeri lain di Malaysia sekiranya ditawarkan gaji antara RM2,000 hingga RM4,999 sebulan.

Sebilangan besar juga sanggup bekerja di luar negara dengan gaji melebihi RM5,000.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata seramai 1,197 responden yang ditemui menekankan kepentingan memperoleh gaji setimpal dengan kelayakan pendidikan dan kemahiran mereka bagi memastikan kehidupan lebih stabil.

Menurut kajian itu, 72.2% daripada responden mempunyai kelayakan pendidikan tinggi, manakala 27.8% hanya memiliki sijil sekolah menengah.

“Secara keseluruhan, walaupun terdapat peluang pekerjaan di Sabah, masalah utama yang dihadapi ialah ketidaksepadanan antara pekerjaan yang tersedia dengan kelayakan akademik atau kemahiran pencari kerja,” kata Ketua Perangkawan, Uzir Mahidin, dalam satu kenyataan kelmarin.

Tambah beliau, sebanyak 66.2 peratus rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung Malaysia memilih untuk terus menetap dan meneruskan kerjaya mereka.

Katanya, kesimpulan hasil kajian itu menunjukkan kepentingan memahami aspirasi dan cabaran yang dihadapi oleh pencari kerja di Sabah bagi memastikan langkah-langkah intervensi yang lebih berkesan dapat dilaksanakan.

Sehubungan itu pihaknya mencadangkan tiga langkah intervensi utama bagi menangani isu gaji dan ketidaksepadanan dalam pasaran buruh di Sabah iaitu menyelaraskan penawaran tenaga kerja dengan permintaan, mengukuhkan sektor ekonomi utama, dan menambah baik infrastruktur bagi meningkatkan akses kepada pekerjaan.

Katanya, dapatan kajian itu juga selaras dengan Laporan Sosioekonomi Negeri Sabah 2023, yang menunjukkan trend migrasi tenaga kerja meningkat dari 13.1 peratus pada 2020 kepada 41.9 peratus pada 2022.

“Data ini jelas menunjukkan keperluan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dengan kadar gaji lebih kompetitif bagi memastikan tenaga kerja berkualiti kekal di Sabah.

“Tanpa inisiatif yang sesuai, negeri ini akan terus berhadapan dengan penghijrahan tenaga kerja mahir ke negeri lain atau luar negara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top